Pas jangan ‘propa’ nak play victim, kegagalan kamu punca PN dibatal – Azmin

 


Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan Pas atas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), sambil membidas parti itu yang didakwa cuba meraih simpati dengan menggambarkan dirinya sebagai mangsa politik.

Azmin berkata, kepimpinan PN yang diterajui Pas gagal mengurus gabungan itu berlandaskan prinsip demokrasi, ketelusan dan tadbir urus yang baik sehingga membawa kepada tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Beliau menegaskan bahawa Pas dan sekutunya kini cuba menggunakan isu pembatalan pendaftaran PN untuk meraih simpati menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Hentikan propaganda dan politik identiti yang melampau,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmin, keputusan RoS itu membuktikan aduan Bersatu berhubung pelanggaran perlembagaan PN mempunyai asas, bukannya berpunca daripada tindakan politik pihak luar seperti yang didakwa sesetengah pemimpin gabungan berkenaan.

Katanya, Bersatu sendiri mengemukakan aduan kepada RoS pada 11 Ogos lalu selepas didakwa dinafikan hak menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.

Azmin menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran serius Fasal 7.1 Perlembagaan PN yang boleh menjejaskan masa depan gabungan berkenaan.

Beliau turut mendakwa kepimpinan Pas menggunakan tekanan dan kuasa veto pihak tertentu untuk menggugurkan Bersatu sebagai anggota sah PN, sekali gus mengetepikan prinsip demokrasi dalam gabungan itu.

Malah, Azmin menuduh Pas sering mengkhianati rakan seperjuangan dan sepatutnya bertanggungjawab terhadap krisis dalaman PN, bukannya menampilkan diri sebagai mangsa.




No comments: