Ratusan pelabur I-Serve tuntut keadilan, MHO desak AGC kaji semula keputusan NFA

 


FOTO BERITA: Penyerahan Surat oleh Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes pelaburan yang melibatkan 15 syarikat telah lesap dan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) di Jabatan Peguam Negara Putrajaya. 20hb Oktober 2026 (Selasa)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan dan menilai semula keputusan mengklasifikasikan siasatan kes pelaburan I-Serve sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, keputusan yang dimaklumkan AGC menerusi surat bertarikh 21 Ogos lalu menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan pelabur yang mendakwa mengalami kerugian

Menurutnya, pihak peguam sebelum ini telah mengemukakan rayuan pada 4 Ogos lalu supaya kes berkenaan diteliti secara menyeluruh, bukan sekadar melalui tindakan pentadbiran Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, MHO turut mengambil perhatian terhadap laporan The Edge Malaysia pada 30 Julai lalu mengenai lebih 200 pelabur yang memperoleh penghakiman ingkar terhadap Allan Goh dan beberapa syarikat berkaitan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Hishamuddin menjelaskan penghakiman sivil itu tidak secara automatik membuktikan kesalahan jenayah kerana kedua-dua prosiding mempunyai tahap pembuktian berbeza.

Namun, katanya, perkembangan tersebut wajar diteliti bagi menentukan sama ada terdapat maklumat baharu yang boleh membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, MHO mahu AGC menjelaskan asas keputusan NFA, termasuk sama ada penghakiman Mahkamah Tinggi berkenaan telah diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Pertubuhan itu turut menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti mencukupi mengenai kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Hishamuddin menegaskan gesaan tersebut bukan bertujuan mendahului proses perundangan, sebaliknya memastikan semua bukti dan maklumat relevan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“MHO berharap perkara ini diteliti secara telus, menyeluruh dan adil demi memelihara keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara,” menurut kenyataan itu.


MHO turut berharap AGC membuka ruang kepada pelabur mengemukakan dokumen serta keterangan tambahan bagi memastikan kepentingan ratusan individu yang terjejas terus mendapat perhatian.


No comments: