Bila Pas gagal pimpin tapi mahu kuasai segalanya, akhirnya PN yang terkubur

 


Tindakan Pas yang mahu menguasai Perikatan Nasional (PN) akhirnya bertukar menjadi mimpi buruk apabila gabungan itu kini berdepan pembatalan pendaftaran, selepas berbulan-bulan dibelenggu pertelingkahan dalaman yang gagal diselesaikan oleh kepimpinannya sendiri.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan besar mengenai keupayaan Pas memimpin sebuah gabungan politik.

Semuanya bermula apabila hubungan dengan rakan komponennya, Bersatu meruncing sehingga membawa kepada campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Lebih menarik, ada cubaan mengaitkan tindakan ROS itu dengan dakwaan campur tangan kerajaan.

Namun tindakan ROS terhadap pembatalan PN ini bermula apabila Pas secara terbuka mendakwa Bersatu sudah terkeluar dari PN dan menyatakan hasrat untuk mengambil alih kepimpinan gabungan itu.

Parti itu kemudian membuat keputusan pada 8 Jun lalu untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. 

Ketegangan semakin ketara apabila Bersatu mendakwa tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, termasuk dalam urusan rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. 

Bersatu melihat perkara itu sebagai isu yang menyentuh kedudukannya dalam gabungan berkenaan.

Kemelut itu akhirnya dibawa ke saluran rasmi apabila Bersatu mengemukakan aduan kepada ROS pada 11 Ogos lalu. 

Aduan tersebut membangkitkan dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam mesyuarat berkenaan serta persoalan mengenai status keanggotaannya dalam PN.

RoS mengesahkan menerima aduan tersebut dan menyatakan penelitian akan dibuat berdasarkan undang-undang, perlembagaan pertubuhan serta rekod rasmi jabatan.

Pada 22 September, ROS mengeluarkan notis kepada PN untuk memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan, sebelum perintah penggantungan kegiatan gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September. 

Ketika itu, ROs menjelaskan bahawa notis berkenaan bukan keputusan pembatalan pendaftaran, sebaliknya memberi ruang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan.

PN kemudiannya mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober. Bagaimanapun, RoS pada hari ini mengumumkan pembatalan pendaftaran gabungan itu selepas mendapati penjelasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.

Perkembangan tersebut memperlihatkan bagaimana kerakusan Pas untuk memonopoli kuasa dan mendominasi PN akhirnya memakan diri apabila parti itu dilihat gagal mengurus kepimpinan gabungan dengan baik sehingga PN akhirnya dibatalkan.

Lebih sukar diterima apabila perhatian kini cuba dialihkan kepada dakwaan kerajaan mahu menghapuskan pembangkang, sedangkan isu yang mencetuskan tindakan ROS bermula dengan aduan Bersatu mengenai penglibatan dan kedudukannya dalam PN. 

Pas perlu menjawab persoalan mengenai pengurusan gabungan itu. Malah dakwaan Pas mampu menerajui pembangkang dengan berkesan juga kini menjadi pertikaian.

Jika sebuah gabungan yang dibina bersama rakan politik sendiri gagal dipertahankan, persoalan tentang keupayaan parti itu mengurus kerjasama politik yang lebih besar akan terus menghantui kepimpinannya.




No comments: