PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2026 – Pembentangan Belanjawan 2027 oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam meletakkan agenda keterjaminan makanan negara sebagai antara keutamaan strategik, di samping memperkukuh sektor agromakanan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, memperkukuh daya tahan sektor agromakanan serta menjaga kebajikan petani, penternak dan nelayan. Tumpuan ini penting bagi memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi, selamat, berkualiti dan mampu milik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import serta melindungi kepentingan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim.
Secara keseluruhannya, KPKM menerima peruntukan sebanyak RM6.92 bilion bagi tahun 2027 berbanding RM6.87 bilion pada tahun 2026, iaitu peningkatan sebanyak RM50.31 juta. Peruntukan ini merangkumi Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM4.85 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM2.07 bilion.
Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), khususnya untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik, memperkukuh daya tahan sektor agromakanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Antara inisiatif utama yang diberikan tumpuan melalui Belanjawan 2027 adalah seperti berikut:
1. Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara
Peruntukan sebanyak RM300 juta bagi memperhebat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) yang dapat membantu menjana hasil yang bermakna di peringkat komuniti.
2. Memperkasa Industri Padi dan Kebajikan Pesawah
(a) Peruntukan sebanyak RM2.62 bilion bagi meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah. Pesawah akan menikmati sekitar RM4,300 meliputi antaranya subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi;
(b) Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memulih dan menyuburkan tanah melalui pembekalan Baja Foliar melibatkan lebih 10,000 hektar tanah sawah;
(c) Peningkatan kadar Insentif Penuaian Padi (IPP) daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim. Manakala kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) yang telah ditingkatkan kepada RM300 sehektar semusim akan dikekalkan dan diperluas kepada pengusaha padi sawah di Sabah dan Sarawak; dan
(d) Pelaksanaan Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan MADA terus diberi keutamaan. Pada masa ini, kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang dilaksanakan mengikut jadual. Sementara itu, Projek Pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung 2027.
3. Memodenkan Sektor Pertanian dan Memperkasa Usahawan Tani
(a) Pembiayaan berjumlah RM1 bilion disediakan melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong peningkatan hasil tani termasuk melalui penggunaan teknologi; dan
(b) Dana RM40 juta bagi penghasilan produk bernilai tinggi melalui teknologi moden.
4. Meneruskan Pelaksanaan Jualan Agro MADANI dan Peluasan SARA bagi Meringankan Kos Sara Hidup Rakyat
(a) Pelaksanaan 5,000 Jualan Agro MADANI (JAM) diteruskan yang menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur dan buah pada harga sehingga 30 peratus lebih murah, khususnya bagi membantu komuniti B40 dan M40; dan
(b) Peluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di 216 Pasar Tani atau Tamu di bawah FAMA seluruh negara.
5. Memperkukuh Industri Perikanan dan Kebajikan Nelayan
(a) Peruntukan sebanyak RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 nelayan sedia ada kepada 20,000 nelayan melalui proses pemutihan;
(b) Peruntukan RM40 juta di bawah Agrobank untuk pelaksanaan pembiayaan projek akuakultur. Ini termasuk membekalkan sistem bioflok bagi ternakan ikan tilapia;
(c) Nelayan yang layak terus menikmati harga diesel bersubsidi pada RM1.65 seliter; dan
(d) Peruntukan sebanyak RM178 juta disediakan antaranya untuk penyaluran insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan.
KPKM komited untuk memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berlandaskan tatakelola yang baik supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan sasar serta rakyat secara keseluruhannya.
Saya yakin Belanjawan 2027 akan terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara dan membangunkan sektor agromakanan yang lebih moden, mampan serta berdaya saing, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan matlamat DAN 2.0 dan DKMN 2030.
Dikeluarkan oleh:
YB DATUK SERI HAJI MOHAMAD SABU
MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
No comments:
Post a Comment