DAP tak ada dah dalam kerajaan Negeri Sembilan, kenapa masih dipersalahkan Pas? – Mahfuz

 


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Presiden Pas yang didakwa terus mengaitkan DAP dengan krisis pentadbiran Negeri Sembilan, sedangkan parti itu sudah tiada dalam kerajaan negeri.

Beliau berkata, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu jawab mengapa rakyat Negeri Sembilan masih berdepan krisis pentadbiran sedangkan kerajaan negeri bertanggungjawab menyelesaikannya.

“Kalau DAP yang menjadi puncanya, mengapa hari ini rakyat Negeri Sembilan masih berdepan krisis pentadbiran sedangkan kerajaan negeri sendiri yang perlu menyelesaikannya? DAP sudah tiada dalam kerajaan.

“Ini bukan lagi politik fakta. Ini politik ‘asal sebut DAP, Melayu mesti percaya’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahfuz turut membangkitkan isu pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan mempersoalkan sampai bila Negeri Sembilan hendak ditadbir dalam keadaan huru hara.

“Rakyat tidak memilih kerajaan supaya kerajaan bergaduh dengan institusi Raja. Rakyat memilih kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Yang paling malang bukan Pas. Bukan BN. Bukan DAP. Bukan PH. Yang paling malang ialah rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Mahfuz, krisis berkenaan tidak boleh diselesaikan dengan terus menyebut DAP, sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada pihak yang memegang tampuk pemerintahan negeri.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Negeri Sembilan memerlukan kerajaan negeri yang lengkap, stabil dan mampu menjalankan tugas.

“Hari ini rakyat Negeri Sembilan tidak perlukan kuliah tentang Donald Trump. Mereka perlukan kerajaan negeri yang lengkap, stabil dan boleh bekerja.

“Jangan mencari DAP di Washington untuk menjelaskan kekacauan di Seremban. Cari dahulu punca masalah di rumah,” katanya.





No comments: