
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan.
SEMPORNA, 11 Okt – Pakej RM160 juta yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab mulai 2027 wajar dinilai berdasarkan satu soalan utama: berapa banyak pendapatan bersih yang benar-benar bertambah dalam poket pekerja gig?
Rata-rata, mereka yang ditemui menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan, pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan.
“Kami amat berterima kasih kepada PMX kerana mendengar keluhan serta cadangan para rider seperti kami, dan berharap ia dapat dilaksana segera bagi meneruskan mata pencarian kami dengan lebih baik,” ujar seorang penghantar makanan di sini, semalam.
Untuk rekod, pekej itu merangkumi kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans, serta caruman PERKESO dengan kira-kira 600,000 rakyat mencari rezeki dalam sektor ini sejak 2018.
Pendekatan ini wajar dipuji kerana menyasar kos operasi yang menghakis pendapatan, bukan sekadar kadar tambang. Insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus, meningkat kepada 50 peratus jika platform turut menyumbang, dan caruman padanan KWSP sehingga RM600 setahun, turut memperkukuh perlindungan jangka panjang.
Namun, ada beberapa perkara yang perlu dipantau. Menurut Ketua aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal, berpandangan tambahan RM227 sebulan masih kecil jika pendapatan semasa sekitar RM1,000.
Selain itu, angka RM227 ialah unjuran sehingga paras median, dan syarat kelayakan serta kaedah pengiraan belum diperincikan. Secara kasar, RM160 juta tidak mungkin menyampaikan jumlah itu kepada kesemua 600,000 pekerja, jadi liputan sebenar perlu dijelaskan.
“Kita ingin lihat kadar pendapatan minimum muktamad masih dirundingkan Majlis Perundingan Gig dan dijangka siap awal 2027 dan ini mmebolehkan para pekerja terus menumpukan perhatian untuk meningkatkan pendapatan boleh guna masing-masing,” katanya.
Pakej ini satu permulaan yang wajar namun kejayaannya hanya boleh diukur selepas pelaksanaan iaitu pendapatan bersih sebenar selepas ditolak kos dan komisen, bilangan penerima, serta ketelusan data daripada platform p-hailing itu sendiri.


No comments:
Post a Comment