Aminuddin Tempelak Ismail, Tiada Exco Boleh Jejas Pembangunan Negeri Sembilan

 

IMG_7912

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban pada 11 Oktober 2026. Foto Parlimen PD

SEREMBAN, 11 Okt – Umpama ‘tempang’, ketiadaan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco Negeri Sembilan pasti menjejaskan urusan pelaburan dan perniagaan yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Sambil menempelak situasi yang dialami kerajaan BN di bawah Ismail Lasim, Aminuddin Harun menegaskan, mana-mana kerajaan negeri tidak mampu beroperasi hanya dengan keberadaan seorang menteri besar sahaja tanpa sokongan pentadbir setiap portfolio bagi mengurus perjalanan kerajaan negeri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, kerajaan negeri tidak dapat berfungsi seperti biasa hampir dua bulan selepas mengambil alih pentadbiran, dengan keputusan penting berkaitan dasar serta kelulusan masih tertangguh.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban pada 11 Oktober 2026. Foto Parlimen PD

“Bagaimana hendak melaksanakan tugas-tugas ini tanpa Exco? Pelabur menanti, pengusaha menanti, penjual yang menjual rumah, yang menjual kedai, yang menjual apa lagi?

“Yang perlukan kelulusan MMKN terpaksa tangguh, tangguh dan tangguh. Jadi, ini menggagalkan usaha negeri untuk terus berkembang.

“Pelabur mulai curiga. Ini menjadi satu perkara yang patut kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional fikirkan, bukan hanya memikirkan kepentingan mereka,” katanya berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban pada 11 Oktober 2026. Foto Parlimen PD

Beliau mengulas tindakan 10 Exco menyokong deklarasi menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan kemudian dipecat bulan lalu yang membawa kepada ketiadaan Exco pengganti sehingga kini.

“Tak apa kita tewas. Rakyat Negeri Sembilan sedang melihat apa yang berlaku dan saya yakin mereka dapat menilai siapa yang boleh menjalankan tugas dan siapa yang hanya pandai bercakap besar, tetapi gagal memikul tanggungjawab.

“Kita masih ada masa. Teruskan usaha dan pastikan kita dapat memenangi PRU akan datang serta menambah bilangan kerusi,” katanya.




No comments: