Belanjawan 2027: Kerajaan MADANI Tanggung Biaya 40,000 Petugas Masjid, Tak Guna Wang TH – Menteri

 

IMG_7916

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan. Foto Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Para pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu bimbang apabila Kerajaan MADANI membiayai sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.

Jaminan tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menerusi satu kenyataan seraya berkata, pembiayaan caruman itu ditanggung sepenuhnya menerusi peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui TH hanya bagi urusan pengurusan sahaja.

Menurutnya, sebarang dakwaan atau andaian bahawa wang simpanan pendeposit TH digunakan untuk membiayai inisiatif berkenaan adalah tidak benar dan bersifat spekulatif.

Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan pada 11 Oktober 2026. Foto Dr. Zulkifli Hasan

“Ingin ditegaskan secara nyata bahawa tiada dana pendeposit Tabung Haji (TH) yang digunakan bagi pembiayaan caruman ini.

“Peruntukan berkenaan adalah 100 peratus bersumberkan peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH semata-mata atas kapasiti pengurusan,” katanya.

Langkah kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO itu jelas beliau, melibatkan para imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara.

Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap sumbangan golongan terbabit dalam meningkatkan hal ehwal Islam selain bertujuan menjamin kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan mereka.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited memelihara integriti pengurusan amanah TH serta memastikan tadbir urus korporat yang telus berteraskan prinsip syariah.

“Usaha memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Seramai 40,000 petugas masjid dan tenaga pengajar agama di seluruh negara bakal menikmati perlindungan PERKESO pada pembentangan Belanjawan 2027.





No comments: