Pertubuhan Profesor G70 (PPG70) menyeru semua pihak agar berganding bahu menjayakan Belanjawan 2027 yang dibentang kerajaan dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan bersama.
Pengerusinya, Prof. Emeritus Datuk Dr.Wan Ramli Wan Daud berkata, aspirasi belanjawan itu mencerminkan harapan setiap keluarga terhadap pendapatan yang mencukupi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti serta pengurusan kewangan negara yang berhemat dan mampan.
“Atas dasar itu, PPG70 bersedia menyumbangkan kepakaran dan pengalaman ahli-ahli kami bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan menghasilkan perubahan yang dapat diukur serta dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu PPG70 menyatakan sokongan terhadap aspirasi Belanjawan 2027 untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan ekonomi negara, selain mengemukakan beberapa saranan supaya matlamat tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Dari sudut kos sara hidup, PPG70 menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, selain peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Pertubuhan itu turut mengambil perhatian terhadap kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta peningkatan pencen minimum daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan.
Dalam aspek pendidikan, PPG70 menyambut baik peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan kepada hampir RM69 bilion, penggandaan peruntukan baik pulih sekolah kepada RM2 bilion serta kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi 5.3 juta murid.
Selain itu, bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditangguhkan pada 2027 bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, melibatkan lebih 400,000 peminjam.
Dalam sektor kesihatan pula, PPG70 menyifatkan tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor pada 2027 sebagai perkembangan penting, manakala peruntukan Kementerian Kesihatan meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada 2026.
PPG70 berpandangan pelaburan dalam pendidikan penting untuk pembentukan modal insan, peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan daya saing negara.
Pertubuhan itu turut menegaskan bahawa perbahasan belanjawan berteraskan fakta dan analisis membina akan membantu rakyat memahami keutamaan perbelanjaan negara.

No comments:
Post a Comment