SURAT AKU JANJI INI BUKAN “LESEN” UNTUK SUNTIK ANAK KITA
(1) Saya tertarik dengan penjelasan peguam Asiah Abd Jalil mengenai Surat Aku Janji berkaitan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini.
Boleh lihat di postingnya
https://web.facebook.com/share/p/1HmYx5N4dq/
Pada saya, penjelasan ini penting untuk meredakan satu perkara yang sedang merisaukan sebahagian ibu bapa. Jangan kita baca satu ayat, kemudian imaginasi kita pergi sampai tiga kampung.
(2) Pertama sekali kita kena faham, Polisi Perlindungan Murid Sekolah ini memang wujud secara rasmi.
KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 4 Tahun 2026: Pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bukan dokumen misteri. Bukan benda yang tiba-tiba sekolah reka sendiri. KPM sendiri menerbitkannya secara rasmi.
(3) Tujuan besarnya ialah perlindungan murid.
Mudah cerita, apabila kita hantar anak ke sekolah, sekolah bukan sekadar tempat cikgu mengajar Matematik, Sains dan Bahasa Melayu.
Sepanjang anak berada dalam jagaan sekolah, pihak sekolah mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan mereka.
Di sinilah kita boleh memahami konsep in loco parentis — dalam keadaan tertentu, pihak sekolah memikul tanggungjawab menjaga murid ketika murid berada di bawah pengawasan sekolah.
(4) Namun jangan pula kita terbalikkan maksud konsep ini.
In loco parentis bukan bermaksud sekolah mengambil alih seluruh kuasa ibu bapa terhadap anak.
Sekolah menjaga murid dalam ruang tanggungjawab dan kuasa yang diberikan oleh undang-undang, peraturan, pekeliling dan dasar yang berkuat kuasa. Bukan semua perkara sekolah boleh buat sesuka hati atas alasan,
"Kami sedang menjaga anak tuan."
Tak begitu.
(5) Antara kebimbangan yang saya lihat berlegar sekarang ialah apabila ibu bapa menandatangani Surat Aku Janji ini, kononnya tandatangan tersebut boleh digunakan kemudian untuk membenarkan anak menerima suntikan, imunisasi atau rawatan perubatan tanpa persetujuan ibu bapa.
Setakat kandungan Aku Janji yang dirujuk itu, tidak begitu.
Persetujuan terhadap perkara yang dinyatakan dalam sesuatu Aku Janji tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap perkara lain yang tidak dinyatakan.
(6) Kalau nak bukti paling mudah, kita tak perlu pun pergi kepada isu vaksin COVID-19.
Kita tengok sahaja bagaimana Program Imunisasi Sekolah memang dilaksanakan selama ini.
KKM mempunyai Garis Panduan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah yang mengatur pelaksanaan perkhidmatan kesihatan kepada murid, termasuk imunisasi.
Dalam garis panduan tersebut terdapat tatacara khusus yang perlu dipatuhi sebelum suntikan imunisasi diberikan kepada murid. Maknanya, imunisasi di sekolah bukan dibuat ikut suka hati sekolah.
Ada prosedurnya. Ada tatacaranya. Ada rekodnya dan ada proses persetujuan ibu bapa atau penjaga.
(7) Malah pada bahagian persediaan sebelum suntikan dalam Garis Panduan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah KKM, petugas perlu menyemak borang persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum imunisasi diberikan.
Jika tiada tandatangan ibu bapa atau penjaga pada borang kebenaran yang berkenaan, persetujuan perlu diperoleh terlebih dahulu mengikut tatacara yang ditetapkan.
Ini perkara penting.
Maksudnya, dalam amalan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah sendiri, KKM mempunyai mekanisme untuk mendapatkan persetujuan khusus bagi imunisasi.
(8) Lebih menarik, KPM dan KKM memang menggunakan Borang Persetujuan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah.
Malah terdapat surat Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM dengan rujukan KPM.600-1/2/7 Jld. 7 (35) bertarikh 30 Disember 2025 berkaitan penggunaan/penggantian Borang Persetujuan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah.
Borang ini bukan Surat Aku Janji Polisi Perlindungan Murid.
Ini dokumen yang berbeza.
Dalam borang persetujuan perkhidmatan kesihatan yang berkaitan, ibu bapa atau penjaga diberikan pilihan secara nyata sama ada:
SETUJU
atau
TIDAK SETUJU
terhadap perkhidmatan/intervensi yang dinyatakan, termasuk imunisasi yang berkenaan.
(9) Contohnya, dalam pelaksanaan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah memang terdapat imunisasi yang diberikan kepada kohort murid tertentu mengikut jadual dan dasar kesihatan semasa.
Ada juga borang khusus seperti BPKK/KS/2025-CDT, iaitu Borang Persetujuan Perkhidmatan Imunisasi Sekolah Bagi Murid Cicir Imunisasi Diphtheria dan Tetanus (8 Tahun dan ke atas).
Nama borang itu sendiri sudah cukup terang:
BORANG PERSETUJUAN.
Nak beri imunisasi, ada borang berkaitan imunisasi.
Nak minta persetujuan, nyatakan apa yang hendak diberikan.
Ibu bapa pula membuat keputusan berdasarkan maklumat tersebut. Itulah proses yang sepatutnya berlaku.
(10) Sebab itu jangan kita campur tiga perkara yang sebenarnya mempunyai fungsi berbeza.
Polisi Perlindungan Murid ada kerangkanya.
Perkhidmatan Kesihatan Sekolah ada punca kuasa dan tatacaranya.
Imunisasi murid pula dilaksanakan melalui program dan proses persetujuan yang berkaitan.
Surat Aku Janji Polisi Perlindungan Murid bukan ccek kosong' yang membolehkan sekolah atau mana-mana pihak melakukan apa sahaja intervensi perubatan terhadap anak kita pada masa akan datang.
(11) Akta Pendidikan 1996 sendiri memang mempunyai peruntukan berkaitan kesihatan murid.
Seksyen 65 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] memberikan kerangka undang-undang mengenai pemeriksaan perubatan dan pergigian murid.
Namun kewujudan punca kuasa bagi Perkhidmatan Kesihatan Sekolah tidak bermaksud semua bentuk intervensi kesihatan boleh dicampur-adukkan dengan Surat Aku Janji Polisi Perlindungan Murid.
Sebab itulah pelaksanaan di lapangan mempunyai garis panduan dan borang persetujuannya sendiri.
(12) Jadi kalau esok Pasukan Kesihatan Sekolah datang dan sesuatu imunisasi hendak diberikan kepada anak kita, tengok dahulu:
Imunisasi apa?
Program apa?
Siapa yang melaksanakan?
Apakah garis panduannya?
Apakah borang persetujuannya?
Apakah maklumat yang diberikan kepada ibu bapa?
Ini jauh lebih tepat daripada mengatakan,
"Aku dah sign Aku Janji sekolah. Maknanya sekolah boleh suntik anak aku bila-bila masa."
Tidak.
Dua benda itu berbeza.
(13) Dalam masa yang sama, jangan pula kita kata ibu bapa langsung tidak mempunyai hak bertanya.
Mestilah boleh bertanya. Kalau ada klausa yang kita tak faham, tanya sekolah. Kalau surat merujuk kepada sesuatu polisi, minta polisi itu.
Kalau melibatkan program kesihatan atau imunisasi, minta penerangan tentang program dan borang persetujuan yang berkaitan.
Bertanya bukan bermaksud melawan sekolah.
Sekolah dan ibu bapa bukan dua pihak yang sedang berlawan dalam mahkamah. Kita menjaga budak yang sama.
(14) Saya juga berpandangan KPM sepatutnya memastikan semua dokumen berkaitan mudah dicapai oleh masyarakat.
Sebenarnya langkah itu sudah dibuat apabila SPI KPM Bilangan 4 Tahun 2026 berkenaan Polisi Perlindungan Murid diterbitkan melalui saluran rasmi KPM.
Begitu juga KKM yang mempunyai Garis Panduan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah.
Kalau ada borang, lampiran, garis panduan atau dokumen pelaksanaan lain yang dirujuk kepada ibu bapa, eloklah semuanya dihimpunkan dan mudah dicapai.
Mak ayah boleh baca sendiri.
Guru pun senang hendak terangkan.
Tak perlulah cikgu jawab 38 mesej WhatsApp pukul 11 malam.
(15) Tentang isu kononnya anak boleh dibuang sekolah semata-mata kerana ibu bapa tidak menandatangani Surat Aku Janji ini, perkara itu juga jangan disebut sesuka hati tanpa menunjukkan punca kuasanya.
Untuk pendidikan rendah, Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 menetapkan pendidikan rendah wajib.
Maka kalau hendak mengatakan kegagalan menandatangani sesuatu Aku Janji secara automatik menyebabkan seorang murid hilang hak untuk terus bersekolah, tunjukkan dahulu peruntukan undang-undang, peraturan atau arahan yang memberikan kesan sedemikian.
Jangan sekolah tambah undang-undang sendiri.
(16) Pada masa yang sama, ibu bapa juga kena berlaku adil kepada sekolah.
Polisi Perlindungan Murid diwujudkan bukan semata-mata untuk 'mengikat' ibu bapa.
Sekolah hari ini berhadapan dengan isu buli, keselamatan, gangguan seksual, kecederaan, pengabaian, keganasan dan pelbagai risiko lain terhadap kanak-kanak.
Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] pula menyediakan kerangka undang-undang yang memberi perhatian kepada pemeliharaan, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak.
Maka apabila sekolah mengambil langkah yang sah dan munasabah untuk melindungi murid, ibu bapa juga perlu memberikan kerjasama.
Hak ibu bapa mesti dihormati. Tanggungjawab sekolah juga mesti dihormati.
(17) Jadi bagi saya, jangan takut dengan Surat Aku Janji ini hanya kerana kita menerima mesej WhatsApp yang mengatakan,
"Jangan sign! Nanti kerajaan boleh suntik anak tanpa izin!"
Kalau ada dakwaan begitu, tanya satu sahaja:
“Klausa nombor berapa yang memberikan persetujuan untuk suntikan atau imunisasi?”
Kalau tidak ada, jangan kita tambah benda yang tidak tertulis.
Lebih-lebih lagi apabila prosedur Perkhidmatan Kesihatan Sekolah sendiri mempunyai mekanisme persetujuan ibu bapa/penjaga bagi imunisasi.
(18) Saya melihat Surat Aku Janji Polisi Perlindungan Murid ini dalam kerangka yang lebih besar.
Sekolah ada tanggungjawab.
Guru ada tanggungjawab.
Ibu bapa pun ada tanggungjawab.
Apabila anak berada di sekolah, kita mahu mereka belajar dalam keadaan selamat dan dilindungi.
Pada masa yang sama, apabila melibatkan perkara khusus seperti imunisasi atau intervensi kesihatan yang memerlukan persetujuan, gunakan prosedur dan borang persetujuan yang berkaitan.
Jangan campur-adukkan kedua-duanya.
(19) Akhir sekali, saya suka satu prinsip mudah. Jangan takut dengan dokumen yang kita belum baca. Jangan pula tandatangan dokumen yang kita tak faham.
Baca. Tanya. Minta penjelasan. Semak punca kuasa.
Kalau berkaitan imunisasi, semak pula borang persetujuannya.
Itu jauh lebih baik daripada membuat kesimpulan berdasarkan poster Facebook dan mesej WhatsApp yang kita sendiri tak tahu siapa mula tulis.
Dalam soal anak-anak kita, sekolah dan ibu bapa sepatutnya duduk di sebelah yang sama. Kita semua mahu budak-budak ini selamat.
Mohd Fadhli Othman

No comments:
Post a Comment