TABUNG HAJI MENJUAL BANGUNAN RM40 JUTA DENGAN RM100,000?



Amir Zuhair







Hari ini berlegar tulisan yang mempertikaikan keputusan Tabung Haji (TH) melupuskan 50% kepentingannya dalam Abraj Sdn. Bhd. dengan harga RM100,000.


Pertikaian itu mengandungi satu masalah besar, ia menggunakan angka yang benar, tetapi disusun sehingga menghasilkan gambaran yang salah.


Janganlah mengambil satu angka RM100,000 lalu menggambarkan seolah-olah TH menjual aset bernilai puluhan juta ringgit pada harga RM100,000.


Itu bukan apa yang berlaku.


1. TH bukan menjual bangunan MKN Embassy Techzone. TH melupuskan kepentingan sahamnya dalam Abraj. Ini perbezaan yang sangat asas.


2. RM100,000 itu ialah bayaran tunai dalam transaksi tersebut. Menurut penjelasan TH, nilai transaksi mengambil kira pengambilalihan tanggungan syarikat termasuk pembiayaan bank sekitar RM192 juta.


Jadi apabila ada yang menulis:


“TH jual RM40 juta dengan harga RM100,000”


seolah-olah RM40 juta aset bersih telah bertukar tangan dengan RM100,000 tunai, itu sudah menjadi satu perbandingan yang tidak apple-to-apple.


3. TH telah pun membuat rosot nilai (impairment) terhadap pelaburan Abraj sebelum pelupusan.


Pelaburan TH yang dilaporkan ialah sekitar RM40.225 juta. Apabila nilai pelaburan itu telah dirosot nilai, tidak tepat untuk mengambil kos pelaburan lama tersebut dan membandingkannya terus dengan RM100,000 seolah-olah RM40 juta itu masih merupakan nilai pasaran saham pada tarikh jualan.


Itu asas perakaunan yang sangat senang. Ini adalah masalah bila orang yang tak faham akaun menulis. Kos pelaburan tidak sama dengan nilai pasaran saham pada hari ia dijual.


4. Falasi yang disebarkan itu mengambil aset bersih Abraj pada hujung 2020 dan 2024, kemudian membahagikannya dua untuk mengatakan pegangan TH sepatutnya bernilai RM47 juta atau RM43 juta. Ini salah yang besar.


Nilai aset bersih pada 2024 tidak boleh digunakan secara retroaktif untuk membuktikan bahawa saham tersebut bernilai RM43 juta pada Februari 2020.


Kalau begitu caranya, setiap pelaburan yang naik nilainya selepas dijual boleh digunakan untuk menuduh penjual telah menipu atau tersilap.


Kita perlu kembali kepada soalan yang sebenar:


Berapakah nilai saham Abraj pada Februari 2020, ketika transaksi itu dibuat?


Apa nilai hartanah ketika itu?


Berapa hutang yang perlu diambil alih?


Bagaimana kedudukan penyewa?


Bagaimana aliran tunai?


Apakah risiko bank menjual cagaran?


Apakah kos untuk menyelamatkan syarikat?


Adakah terdapat pembeli lain?


Bagaimana RM100,000 itu ditentukan?


Itulah soalan yang wajar ditanyakan.


Bukan mengambil angka tahun 2024 dan membawanya balik ke tahun 2020.


5. Jangan pula menggunakan rating AAA Abraj pada 2025 sebagai bukti bahawa TH telah menjual sesuatu yang bernilai tinggi pada 2020.


Rating tersebut datang dengan konteks yang sangat berbeza, termasuk jaminan Amanah Raya terhadap program sukuk tersebut.


Abraj pada 2025 bukanlah keadaan Abraj pada 2019 ketika berdepan masalah pembiayaan dan aliran tunai.


Malah, kalau kita mahu bercakap tentang Abraj dengan jujur, kita kena bercakap tentang keseluruhan cerita.


Pada 2019, Abraj mempunyai masalah pembiayaan yang besar. Salah satu bangunannya juga berdepan masalah penyewaan sehingga menjejaskan kemampuan menjana pendapatan untuk membayar pembiayaan.


Bank telah mengambil tindakan berhubung pembiayaan tersebut. TH kemudian membuat rosot nilai terhadap pelaburannya. Dan akhirnya pegangan itu dilupuskan.


Adakah keputusan itu betul?


Itu boleh dan patut diperiksa.


Malah lebih menarik, RCI Tabung Haji sendiri telah mencadangkan supaya pelaburan tertentu termasuk Abraj melalui proses forensik audit. Jadi kita tidak perlu takut untuk menyiasat. Tetapi menyiasat tidak bermaksud kita boleh memutar fakta.


Ada perbezaan besar antara:


“Mari kita audit keputusan TH.”


dengan


“TH jual aset RM40 juta dengan harga RM100,000.”


Yang pertama ialah persoalan yang sah.


Yang kedua ialah kesimpulan yang tidak boleh dibuat hanya berdasarkan angka-angka yang diberikan.


Saya bimbang naratif seperti ini akhirnya menghasilkan satu masalah yang lebih besar.


Apabila orang melihat:


RM40 juta → RM100,000


mereka akan terus menyimpulkan:


“TH rugikan duit pendeposit puluhan juta.”


Sedangkan mereka tidak diberitahu bahawa RM100,000 itu ialah bayaran tunai dalam transaksi yang turut mengambil kira pengambilalihan liabiliti, dan TH telah terlebih dahulu mengiktiraf rosot nilai pelaburan tersebut.


Inilah bahayanya falasi angka.


Angka yang betul boleh menghasilkan kesimpulan yang salah apabila konteksnya dibuang.


TH ialah institusi milik umat Islam dan melibatkan wang jutaan pendeposit.


Sebab itu kita perlu kritik TH jika ada kesalahan.


Kita perlu audit jika ada persoalan.


Kita perlu siasat jika ada keraguan.


Tetapi kita juga ada tanggungjawab untuk tidak menyebarkan naratif yang separuh benar sehingga akhirnya menjahanamkan kepercayaan orang terhadap sebuah institusi hanya kerana mahu memenangkan hujah politik.


Kritik TH, ya.

Audit TH, ya.

Siasat TH, ya.

Tetapi jangan manipulasi angka TH.


Sebab bila kepercayaan terhadap institusi runtuh atas asas fakta yang mengelirukan, yang akhirnya rugi bukan kerajaan.


Yang rugi ialah pendeposit.





No comments: