Bekas Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek tampil menjelaskan bahawa sepanjang beliau menjadi pengerusi sehingga akhir Jun lalu, tidak pernah ada cadangan untuk menjual mana-mana hotel Felda di London.
Menurut beliau, Felda sebenarnya mempunyai empat hartanah di London; dua hotel dan dua hartanah penginapan pelajar.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada empat hartanah tersebut dibeli secara individu pada harga £160 juta atau kira-kira RM867 juta, seperti gambaran yang timbul daripada kenyataan mengenai isu penjualan hotel baru-baru ini.
Penjelasan ini timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau enggan meluluskan cadangan menjual sebuah hotel milik Felda pada harga sekitar £100 juta atau RM550 juta, selepas dimaklumkan bahawa aset berkenaan sebelum ini dibeli pada harga £160 juta.
Ahmad Shabery bagaimanapun bimbang Perdana Menteri mungkin menerima maklumat yang kurang tepat, khususnya kemungkinan berlaku kekeliruan antara harga sebuah hartanah dengan nilai keseluruhan portfolio Felda di London.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menjual aset Felda bukan boleh dibuat sesuka hati kerana memerlukan arahan dan proses kerajaan termasuk melibatkan Kementerian Kewangan serta jawatankuasa penasihat di Jabatan Perdana Menteri.
Jadi, isu paling penting sekarang bukan nak tentukan siapa betul dan siapa salah berdasarkan kenyataan awal, tetapi Felda perlu keluarkan angka dan kronologi yang lengkap.
Hotel mana sebenarnya yang dicadangkan untuk dijual?
Berapa harga belian asal aset tersebut?
Berapa nilai pasarannya sekarang?
Siapa yang membuat penilaian £100 juta dan bila cadangan itu mula dikemukakan?
Bila melibatkan aset Felda dan jumlah ratusan juta ringgit, setiap angka mesti dijelaskan secara telus supaya peneroka dan rakyat sendiri boleh menilai sama ada penjualan itu memang masuk akal atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment