KISAH BENAR PENJAGA YANG TAK MAMPU MENYEDIAKAN BAJU SEKOLAH

 

Saya pernah tak mampu membeli baju sekolah anak sendiri.

.




Sebab itu apabila saya membaca orang marah tentang inisiatif NADI yang membolehkan ibu bapa mendapatkan pakaian sekolah secara ansuran, fikiran saya terus kembali kepada satu episod beberapa tahun lalu.

.


Ketika Rumaysho hendak naik Darjah Dua, keadaan kewangan saya sangat teruk. Sebenarnya baju sekolahnya tidak perlu ditukar. Pakai sahaja baju tahun sebelumnya.

.


Tetapi tiba-tiba Rumaysho mendapat surat tawaran menjadi pengawas sekolah. 

.


Saya duduk dan terangkan kepadanya, “Papa sekarang memang tak ada duit sangat. Rusyd nak masuk tadika, yurannya sahaja hampir RM1,000. Papa pula tengah tak sihat. Appointment hospital Rendra, nenek dan atuk pun bersusun. Banyak masa papa habis mengurus keluarga sampai kerja pun tak sempat nak buat.”

.


Akhirnya saya beritahu Rumaysho, papa tak bersedia untuk menyediakan kelengkapan pengawas. Saya balas surat sekolah dan tidak membenarkan dia menjadi pengawas.

.


Saya fikir habis di situ.

.


Rupanya cikgu kelas WhatsApp. Cikgu disiplin pula meminta mempertimbangkan semula. Akhirnya, kelengkapan pengawas Rumaysho ditaja oleh cikgu kelasnya sendiri.

.


Saya tidak pernah lupa perkara itu.

.


RM50 mungkin kecil bagi kita, tetapi pada bulan tertentu, RM50 boleh menjadi sangat besar bagi sebuah keluarga.

.


Sebab itu saya melihat isu pakaian sekolah secara ansuran melalui NADI daripada sudut yang sedikit berbeza.

.


Saya faham kenapa orang marah. Kita tidak mahu masyarakat sampai perlu “berhutang” untuk membeli keperluan asas anak. 

.


Tetapi kalau mekanismenya benar-benar bayaran berperingkat tanpa faedah dan tanpa caj tambahan, bagi keluarga yang sedang tersepit aliran tunai, pilihan seperti ini boleh sangat membantu.

.


Bukan semua orang susah sepanjang tahun. Ada orang cuma susah pada bulan itu.

.


Kebetulan wife saya juga pernah mendaftar sebagai komuniti NADI. Banyak kursus dan latihan disediakan kepada komuniti secara percuma, malah anak-anak juga boleh mendapat manfaat daripada program pembelajaran tertentu.

.


Tetapi saya fikir bantuan tidak semestinya perlu datang daripada kerajaan. Saya sebenarnya suka kalau PIBG sekolah mengadakan free market.

.


Beg sekolah yang masih elok tetapi anak sudah tidak mahu. Baju sekolah yang masih cantik tetapi sudah kecil. Kotak pensel, kasut, buku latihan atau pakaian sukan.

.


Letakkan sahaja. Siapa perlu, ambil. Siapa ada lebih, beri. Malah wife saya lebih laju daripada idea saya.

.


Selepas Rumaysho tamat tadika PASTI, masih ada dua set uniform yang elok. Harga uniform PASTI pun bukan murah.

.


Wife terus iklankan dalam Facebook group Kampung Padang Balang, Gombak. Dia tulis lebih kurang, uniform ini akan diletakkan di Masjid Saidina Ali. Kami letak sahaja di atas meja. Sesiapa yang memerlukan, datang ambil.

.


Ramai yang bertanya di komen.

.


Selepas diletakkan di masjid, tak sampai lima minit sudah ada orang datang mengambilnya.

.


Subhanallah.

 


Masa itu saya terfikir, bijak sungguh manusia kalau mahu mencari peluang menambah pahala. Kita selalu membayangkan sedekah mesti dalam bentuk wang.

.


Padahal sehelai baju yang sudah tidak berguna kepada kita boleh menyebabkan seorang ayah tidak perlu pening mencari RM30.

.


Sebuah beg terpakai boleh menyebabkan seorang ibu dapat menggunakan duitnya untuk membeli susu.

.


Sebab itu bagi saya, jangan hanya ada satu jalan.

.


Ada keluarga perlukan bantuan percuma. Ada yang mampu membeli secara ansuran. Ada yang cuma perlukan barangan terpakai. Ada pula yang sebenarnya mampu memberi.

.


Kerajaan sediakan sistem. Sekolah sediakan ruang. Masyarakat hidupkan budaya saling membantu.

.


Mungkin begitulah sebuah masyarakat sepatutnya berfungsi. Bukan berlumba-lumba menunjukkan siapa paling senang.

.


Tetapi berlumba-lumba memastikan orang yang sedang susah tidak terasa sendirian.




No comments: