Nak sapu 28 kerusi Melaka? Penganalisis nampak BN-PH lebih ‘ngam’
Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai pilihan paling ideal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berbanding BN bergerak solo atau membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik, Mohd Yusri Ibrahim berkata, BN ketika ini mempunyai tiga pilihan utama menjelang PRN Melaka, dengan setiap satunya mempunyai kelebihan dan risiko tersendiri.
Menurutnya, walaupun sokongan terhadap BN dilihat meningkat mutakhir ini, keputusan untuk bertanding secara solo masih membawa risiko besar khususnya dalam konteks politik Melaka.
Yusri berkata, pilihan kedua ialah kerjasama BN-PN yang berpotensi memenangi sehingga 24 daripada 28 kerusi DUN, sekiranya pola kerjasama seperti di Negeri Sembilan dapat diterjemahkan di Melaka.
Bagaimanapun, katanya, persoalan pembahagian kerusi dijangka menjadi halangan terbesar kepada kerjasama tersebut kerana BN kini menyandang 21 kerusi dan sukar untuk melepaskan kerusi berkenaan kepada PN.
Pada masa sama, PN juga dijangka sukar menerima sekiranya hanya diberikan tujuh kerusi untuk ditandingi, lebih-lebih lagi apabila empat daripada tujuh kerusi itu berpotensi dimenangi PH.
“Apatah lagi empat daripada tujuh kerusi tersebut berpotensi dimenangi PH,” katanya.
Sebaliknya, Yusri melihat kerjasama BN-PH mempunyai laluan yang lebih mudah, khususnya dari sudut rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan.
Menurutnya, BN boleh mengekalkan kerusi yang disandang ketika ini, manakala PH juga dilihat tidak sukar menerima baki tujuh kerusi yang tidak disandang BN.
Dalam keadaan itu, katanya, gabungan BN-PH berpotensi memenangi kesemua 28 kerusi DUN Melaka, sekiranya kedua-dua parti berjaya menyusun strategi dan pembahagian kerusi dengan baik.
Yusri berkata, kerjasama BN-PH juga berpotensi mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang boleh menyebabkan undi berpecah serta membuka ruang kepada pihak lain untuk menang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama tidak wajar dibuat hanya berdasarkan pengiraan kerusi atau kepentingan parti.
Penggal DUN Melaka dijadual berakhir pada 26 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus masih memberikan ruang kepada BN untuk menilai pilihan terbaik.
Menurut Yusri, perkara paling penting ialah BN perlu mengambil kira pandangan dan kehendak pengundi Melaka sebelum menentukan bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN akan datang.
“Sebaiknya tinjau dahulu apa pandangan, sikap dan hasrat pengundi Melaka terhadap pilihan-pilihan tersebut, kerana pengundi yang akan memilih nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment