Rostom A. Rahman
Alkisah maka tersebutlah sebuah negeri di utara semenanjung, yang rakyatnya amat gemar akan segala perkara yang belum selesai, kerana perkara yang belum selesai itu lebih mudah dijadikan modal hikayat daripada perkara yang telah selesai.
Maka pada suatu hari berhimpunlah segala pembesar di balai seri. Datanglah seorang bentara membawa khabar dari negeri Kedah bahawa tuntutan berkenaan bayaran pajakan Pulau Pinang itu sedang dipertimbangkan. Maka bertanyalah seorang rakyat jelata, “Jika tuntutan itu benar dan dokumen telah tersedia, bilakah hendak dihantar?”
Maka jawab seorang pembesar, “Nanti.”
“Bilakah nanti itu?”
“Apabila kerajaan di peringkat Persekutuan berubah.”
Maka tercenganglah rakyat jelata. Bertanyalah ia lagi, “Mengapa pula dokumen hendak menunggu kerajaan berubah?”
Maka pembesar itu pun berdehem tiga kali, lalu berkata dengan penuh hikmat, “Itulah seni pemerintahan, hang tak baca ka buku Sun Tzu. Dokumen yang lengkap tidak semestinya dihantar kepada kerajaan yang sedang memerintah. Kadang-kadang dokumen yang lengkap harus menunggu kerajaan yang belum wujud.”
Maka bertepuk tanganlah para hulubalang, kerana mereka tidak memahami apa-apa tetapi menganggapnya sangat bijaksana dan sempoi MB ini.
Seorang lagi pembesar pun bangkit dan berkata, “Jika kerajaan berubah, kita akan hantar.”
“Jika tidak berubah?”
“Kita pertimbang semula untuk menunggu perubahan.”
“Jika perubahan itu tidak berlaku?”
“Kita tunggu perubahan yang berikutnya.”
Maka seorang tua yang sejak tadi berdiam diri bertanya, “Kalau begitu, bilakah tuntutan itu akan dibuat?”
Maka seluruh balai menjadi sunyi.
Akhirnya seorang menteri berkata, “Apabila tiba masa yang sesuai.”
“Siapakah menentukan masa yang sesuai?”
“Keadaan politik.”
“Siapakah menentukan keadaan politik?”
“Rakyat.”
“Siapakah menentukan rakyat?”
Maka menteri itu pun terdiam, kerana soalan tersebut sudah hampir memasuki wilayah yang dilarang oleh kitab politik al Mawardi.
Lalu keluarlah seorang profesor ultra kiasu dari balik tirai, lengkap dengan kitab tebal bertajuk Seni Menjadikan Perkara Mudah Sebagai Perkara Yang Perlu Ditunggu. Katanya, “Jangan kamu sekalian terlalu tergesa-gesa. Dalam politik moden, kebenaran bukan sahaja bergantung kepada fakta. Ia bergantung kepada siapa yang memegang tampuk kerajaan ketika fakta itu hendak digunakan.”
Maka rakyat pun bertanya, “Jadi tuntutan itu benar atau tidak?”
Profesor itu menjawab, “Benar apabila kita memerintah.”
“Dan kalau mereka memerintah?”
“Masih benar, tetapi belum masanya.”
“Kenapa?”
“Kerana mereka memerintah.”
Maka rakyat pun menggaru kepala.
Di luar istana pula, para palatao sedang berleha-leha di warung kopi sambil menjelaskan bahawa mereka sebenarnya telah lama memahami strategi tersebut. Mereka berkata, “Ini semua permainan politik. Kita kena tengok jauh ke depan.”
Maka seorang budak bertanya, “Jauh mana?”
“Sejauh pilihan raya.”
“Pilihan raya bila?”
“Belum tahu.”
“Kalau begitu kenapa kamu sudah tahu?”
Maka palatao itu pun tersenyum, kerana itulah kelebihan orang yang tahu semua sebelum sesuatu berlaku.
Kemudian datang pula seorang penglipur lara membawa berita bahawa apabila tajuk berita itu dibaca rakyat, emoji gelak pun turun mencurah-curah seperti hujan musim tengkujuh. Ada π, ada π€£, ada lagi πππ, sehingga emoji marah pun kelihatan malu hendak keluar.
Maka bertanyalah seorang hulubalang, “Mengapa rakyat gelak?”
Jawab penglipur lara, “Bukan kerana Pulau Pinang itu bahan gelak. Bukan kerana soal tuntutan itu tidak penting. Mereka gelak kerana mereka melihat sebuah kerajaan sedang menunggu kerajaan lain berubah sebelum melakukan sesuatu yang kononnya sudah patut dilakukan.”
Maka tersebutlah dalam kitab sejarah bahawa pada zaman tersebut, tuntutan itu tidak hilang, dokumen itu tidak hilang, Pulau Pinang pun tidak hilang. Yang hilang hanyalah kepastian tentang bila semuanya hendak dilakukan.
Dan demikianlah hikayat sebuah politik yang sangat bijaksana: apabila kerja boleh dibuat hari ini, tunggulah esok; apabila esok tidak sesuai, tunggulah lusa; dan apabila kerajaan bertukar, katakanlah bahawa semuanya memang telah dirancang sejak dahulu.
Maka bersoraklah para palatao.
Maka berjimba-jimbalah para penyokong.
Maka berleha-lehalah para politikus.
Dan rakyat jelata pun terus menekan emoji π.
Kerana dalam negeri yang ajaib itu, gelak rakyatlah satu-satunya dokumen yang mencukupi jumloh. Sekian hikayat dari negeri Muhong Mahawangsa.

No comments:
Post a Comment