PENDAPAT, 10 Ogos – Kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) bagi ‘meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam’ wajar diberikan perhatian serius, khususnya kerana ia menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan kedudukan institusi negara.
Pandangan serta kritikan politik tidak menjadi masalah kerana ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi dalam negara ini. Namun, apabila sesuatu kenyataan membabitkan dakwaan serius terhadap parti politik atau kelompok masyarakat, ia perlu disokong fakta dan bukti yang jelas supaya tidak menimbulkan salah faham atau kegusaran dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, tindakan Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan yang memandang serius kenyataan berkenaan boleh dilihat sebagai sebahagian daripada suara agamawan mengingatkan pemimpin parti politik terutama Pas supaya lebih berhati-hati ketika membicarakan isu Melayu dan Islam.
Teguran daripada institusi agama dan masyarakat juga penting bagi memastikan perbahasan politik tidak berkembang menjadi retorik yang memecah-belahkan masyarakat hingga membawa kepada fitnah dan permusuhan antara kaum dan agama.
Pihak berkuasa pada masa sama, wajar menilai kenyataan tersebut berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa. Sekiranya terdapat unsur yang melanggar undang-undang negara, tindakan sewajarnya perlu diambil melalui proses yang telus, adil dan berlandaskan fakta, bukannya emosi dan pandangan sendiri.
Seharusnya, mana-mana pemimpin mempunyai tanggungjawab besar memastikan kenyataan politik tidak mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Perbezaan ideologi boleh diperdebatkan, tetapi kedudukan Melayu dan Islam serta hak semua warganegara perlu dibincangkan berdasarkan Perlembagaan dan fakta.
Teguran terhadap kenyataan kontroversi wajar diteruskan secara matang, manakala sebarang tindakan penguatkuasaan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa berdasarkan undang-undang dan bukti yang sah.

No comments:
Post a Comment