Mat Sabu pengerusi mesyuarat industri padi dan beras, jamin dibawa ke perhatian kerajaan

 


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara bagi mendengar sendiri pandangan, cadangan serta isu yang dihadapi pemain industri padi dan beras dalam negara.

Katanya, mesyuarat itu menjadi platform penting untuk beliau mendapatkan gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi semua pihak dalam industri berkenaan.

“Kalau pesawah susah, bekalan beras negara juga akan terjejas. Sebab itu suara mereka mesti didengar.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk Bang Mat mendengar sendiri pandangan, cadangan dan isu yang dihadapi oleh semua pihak dalam industri padi dan beras. 

“Hanya dengan memahami keadaan sebenar di lapangan, kita dapat merangka penyelesaian yang lebih berkesan,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Antara perkara yang diberi perhatian dalam mesyuarat itu ialah kenaikan kos input pertanian, cabaran perubahan iklim, penggunaan mekanisasi serta keperluan menambah baik sistem pengairan bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.

Beliau berkata, setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan dibawa ke perhatian kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Menurut beliau, matlamat utama adalah untuk menjaga kebajikan pesawah, memperkukuh industri padi dan beras serta memastikan bekalan beras negara terus mencukupi untuk rakyat.

Mohamad turut menegaskan KPKM akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi membina industri padi dan beras yang lebih mampan, berdaya saing dan menjadi tunjang kepada keterjaminan makanan negara.




No comments: