BN TAK BOLEH KALAH DI NS, JIKA TIDAK, TINDAKAN 14 ADUN TARIK SOKONGAN HANYA SIA-SIA



14 Julai 2026


Mengimbas bagaimana ia bermula, PRN Negeri Sembilan ini sebenarnya diadakan adalah berikutan tindakan 14 Adun UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.


Tindakan menarik sokongan itu tentunya dengan matlamat untuk menjatuhkan Aminuddin daripada jawatan Menteri Besar yang dipegangnya.


Matlamat seterusnya pastilah pula untuk UMNO mengisi jawatan Menteri Besar itu.


Jika tidak ingin menjatuhkan Aminuddin dan tidak juga bertujuan agar UMNO dapat mengisi ganti jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, lebih munasabah jika 14 Adun UMNO terus saja menyokong Aminuddin sehingga habis penggal.


Sekarang ini apa yang dihasrat dan diingini oleh UMNO itu sudah kian hampir menjadi kenyataan berikutan DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan dan pengundian bagi PRN bakal diadakan pada 1 Ogos depan.


Adakah UMNO masih ingat dan kekal dengan impian tersebut?


Jika impian itu masih ada, BN tiada pilihan lain melainkan mesti menjadi pemenang pada malam

1 Ogos akan datang ketika keputusan PRN diumumkan.


Untuk mencapai kemenangan, ia boleh dilakukan dengan berlawan secara solo atau dengan mencari kawan untuk menambah kekuatan.


Kalau dirasa bertanding sendirian belum pasti menjamin kemenangan, maka ia mesti dilakukan dengan berkawan.


Yang penting BN mesti menang kerana jika kalah, sedangkan ada pilihan untuk beroleh kemenangan, bermakna sia-sia dan kerja buang masa sajalah 14 Adun UMNO sebelum ini menarik sokongan terhadap Aminuddin.


Oleh itu, dalam konteks PRN Negeri Sembilan ini, BN tidak harus takut membuat pilihan yang dapat menjamin kepada kemenangan.


Berdasarkan apa yang terbentang di depan mata, bekerjasama dengan PAS adalah pilihan yang tidak wajar dilepaskan oleh BN bagi menjamin kemenangan dapat digenggam.


PAS bukan saja sedia menawarkan sokongan, malah bersedia juga menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada UMNO untuk mengisinya jika kerjasama dapat dijalinkan.


Dalam hal ini, PAS sudah membuktikan ia adalah kawan yang membawa untung kerana dalam PRN Johor yang baru saja berlaku, DAP sendiri mengakui kemenangan BN dan kekalahan calon-calon DAP di beberapa kerusi adalah disebabkan sokongan daripada penyokong parti Islam itu.


Cuma di Johor itu, PAS dan UMNO berkawan secara tidak rasmi.


Tetapi, disebabkan jasa PAS kepada BN sudah terbukti di Johor dan PAS sekali lagi berjiwa besar untuk terus menyokong BN di Negeri Sembilan, tentulah lebih molek jika kerjasama kali ini dijalin secara rasmi.


Buat apa nak sembunyi-sembunyi lagi, sedangkan lagi diumumkan secara rasmi, lagi musuh makin kecut dan lagi mudah untuk ditewaskan? - ShahbudinHusin 14Julai2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1335520921904357&id=100063393840098





No comments: