
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam bagi bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura pada 13 Julai 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 13 Jul – Pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat untuk memperkukuhkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi saling menguntungkan Malaysia serta Singapura, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua negara turut menyambut baik kemajuan pelaksanaan JS-SEZ, katanya sambil menambah perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Anwar berkata, mereka turut bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura, perkembangan serantau serta pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama, selain menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.
“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan apa jua isu yang masih berbangkit melalui rundingan konstruktif, berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama.

“Semoga hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Pertemuan kira-kira 40 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara sempena lawatan negara tiga hari Tharman ke Malaysia.

No comments:
Post a Comment