Bantah ADUN Lantikan, Pakatan Harapan Melaka Keluar Dari Kerajaan Negeri

 


Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

MELAKA, 14 Jul – Pakatan Harapan (PH) kini menjadi pembangkang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Menurutnya, ia berdasarkan prinsip DAP yang menolak pelaksanaan ADUN lantikan yang disifatkan bercanggah dengan semangat demokrasi dan pilihan raya.

Katanya, semua wakil rakyat PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka termasuk ADUN Bukit Katil, Adly Zahari serta Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Allex Seah Shoo Chin telah mengundi menolak usul pindaan berkenaan.

“Apabila kita menolak usul kerajaan, kita tidak boleh pada masa sama terus berada dalam kerajaan dan menggunakan segala kemudahan kerajaan.

“Justeru, atas prinsip itu, kita keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, ADUN sepatutnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dan bukannya dilantik, manakala individu berkemahiran profesional boleh dilantik sebagai penasihat tanpa diberikan kuasa mengundi dalam DUN.

Susulan keputusan itu, Allex akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa negeri, manakala dua Timbalan Pengerusi Jawatankuasa iaitu Low Chee Leong dan Leng Chau Yen serta Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee turut akan mengosongkan jawatan masing-masing.

“Semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri juga akan melepaskan jawatan dalam masa terdekat.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong bersama kepimpinan parti pada sidang media khas di Melaka pada 14 Julai 2026.

“Bagaimanapun, keempat-empat wakil rakyat DAP akan kekal sebagai ADUN dan akan mengambil tempat di blok pembangkang pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, esok,” katanya.

Beliau berkata, pendirian itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum ini serta tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya, selain telah dibincangkan bersama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan diketahui kepimpinan tertinggi DAP.




No comments: