Hassan Karim Cabar Pembangkang Debat Isu Harga Minyak, Pertahan Komitmen Anwar

 






Oleh: Tyah Helmi




PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tampil mencabar mana-mana wakil rakyat pembangkang untuk berdebat berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menunaikan janji menurunkan harga minyak.
Dalam kenyataan di Facebook beliau pada Selasa, Hassan berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif subsidi bahan api yang membolehkan rakyat menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter serta diesel bersubsidi RM2.10 seliter.
“Pelaksanaan subsidi itu membuktikan bahawa Anwar Ibrahim telah menunaikan komitmennya walaupun negara berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga susulan konflik geopolitik di Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal antara negara yang menawarkan harga petrol dan diesel paling rendah di dunia, selain memastikan bekalan petrol, diesel dan gas memasak mencukupi untuk kegunaan rakyat serta sektor ekonomi.
“Seramai 700,000 individu layak menerima diesel bersubsidi, selain 450,000 pengusaha sektor logistik serta 210,000 petani dan pekebun kecil di seluruh negara turut menikmati manfaat tersebut,” katanya.
Namun, Hassan turut mengakui beliau masih mempunyai pandangan kritikal terhadap tindakan Anwar yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara serentak.
Katanya, isu tadbir urus itu tidak seharusnya dicampuradukkan dengan pelaksanaan janji berkaitan harga bahan api.
Dengan cabaran debat itu, Hassan menegaskan komitmen untuk mempertahankan rekod pentadbiran Anwar dalam isu subsidi minyak, sambil membuka ruang kepada pembangkang untuk bersemuka secara terbuka mengenai dakwaan mereka






No comments: