Doktor tak lagi keluar duit sendiri, KKM pula kini bebas urus perjawatan

 


Selepas bertahun-tahun berdepan rungutan mengenai kelewatan pengisian jawatan dan beban kos perpindahan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan dua perubahan besar yang dijangka memberi kesan langsung kepada kebajikan doktor serta kecekapan sistem kesihatan awam.

Bermula 9 Julai lalu, KKM diberikan autonomi penuh oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan di bawah kementerian itu, sekali gus membolehkan proses penempatan doktor dilakukan dengan lebih pantas tanpa melalui prosedur birokrasi yang panjang.

Pada masa sama, semua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu mulai Julai 2026 kini dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh mengikut peraturan kewangan kerajaan, termasuk elaun makan, penginapan hotel dan kos pengangkutan barang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kedua-dua langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi pengurusan sumber manusia yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan sistem kesihatan awam dan menjaga kebajikan petugas barisan hadapan.

“Naratif perubahan ini kita mulakan dengan kuasa autonomi yang lebih besar. Bermula 9 Julai lalu, KKM telah diberikan kuasa penuh oleh JPA untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan.

“Ini bermakna kita berjaya memotong kerenah birokrasi lama supaya pengisian doktor di hospital dapat dibuat dengan jauh lebih pantas,” katanya ketika menjawab isu berkaitan dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat.

Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan pelantikan tetap, menjadikan lebih 18,500 doktor berjaya diserap ke jawatan tetap di bawah Kerajaan MADANI sejak 2023.

Dzulkefly berkata, pengumuman pelantikan tetap itu turut disusuli penyelesaian terhadap satu lagi isu yang sering dibangkitkan pegawai perubatan, iaitu tuntutan elaun perpindahan apabila ditempatkan di lokasi baharu.

Menurutnya, sebelum ini terdapat doktor yang terpaksa menanggung sendiri kos perpindahan sehingga mencecah ribuan ringgit akibat kekangan pelaksanaan peraturan sedia ada.

“Mulai Julai 2026, kesemua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu kini dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh mengikut peraturan kewangan.

“Ini termasuk elaun makan, sewa hotel dan kos pengangkutan barang. Isu legasi yang sekian lama membelenggu para doktor akhirnya berjaya kita selesaikan secara tuntas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini melaksanakan proses penilaian baharu yang lebih telus bagi program perubatan luar negara yang belum tersenarai dalam senarai pengiktirafan.

Beliau berkata, setakat ini lapan universiti di China telah mengemukakan permohonan rasmi untuk dinilai oleh MMC.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan proses pengiktirafan kelayakan perubatan luar negara lebih telus, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan.

Menurut Dzulkefly, keseluruhan reformasi yang dilaksanakan itu bukan sekadar menyelesaikan isu pentadbiran, sebaliknya bertujuan membina ekosistem kerja yang lebih kondusif bagi mengekalkan tenaga perubatan dalam perkhidmatan kesihatan awam.

“Kita percaya apabila kebajikan barisan hadapan dijaga dan dilindungi, sistem kesihatan negara akan lebih berupaya memberikan perkhidmatan yang terbaik, pantas dan berkualiti kepada seluruh rakyat,” katanya.







No comments: