KDN sahkan sedang siasat isu operasi ‘Network School’ di Forest City

 


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi ‘Network School’ di Forest City, Johor,

KDN dalam kenyataan berkata, kementerian itu mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh orang ramai berkaitan dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.

KDN memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.

Menurut KDN, pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk membuat semakan terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat; serta status dan kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan.

Turut disiasat adalah jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia; dan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan.

“KDN turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan semua aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau aра-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan.

KDN menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.




No comments: