
Pengeluaran kertas undi pos pada 29 Jun 2026 dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
JOHOR BAHRU, 29 Jun – Sebanyak 24,677 kertas undi pos sudah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada individu yang layak mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Johor ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata ia seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos pada hari ini dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kesemua 24,677 kertas undi pos itu terdiri daripada 23,288 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan Petugas Media), 1,044 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan 345 kertas undi pos kategori Borang 1C (Agensi/Organisasi).
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, SPR mengingatkan semua pengundi pos membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 11 Julai depan.
“Pengundi juga diingatkan sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.
SPR dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU Johor boleh dilakukan secara dalam talian.


No comments:
Post a Comment