Selepas Zahid jumpa kepimpinan cawangan Umno, ini pendirian BN Negeri Sembilan

 


BN kekal pendirian untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seperti diputuskan kepemimpinan BN dan UMNO negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu berbeza dengan pendekatan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang menyaksikan kerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pertemuan yang berlangsung semalam juga memutuskan BN tidak akan mencampuri krisis melanda negeri itu, membabitkan Institusi Raja dan Dewan Keadilan Undang (DKU).

“Pertemuan kita itu adalah untuk kesiapsiagaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan perkara-perkara yang kita tekankan tentang bahawa, kita tidak akan pernah mencampuri soal perundangan terutama Institusi Raja dan DKU di Negeri Sembilan.

“Kita mesti berada di luar daripada lingkungan berkenaan. Yang penting ialah penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat untuk menghadapi PRN ini.

“Kita juga telah memberikan penekanan bahawa gerak kerja yang akan kita hadapi ini berada dalam situasi luar biasa.

“Kalau dahulu dalam PRN15, kita bersama-sama dengan parti-parti komponen dalam PH tetapi tidak lagi pada (PRN) kali ini kerana itu adalah pilihan yang dibuat Umno dan BN Negeri Sembilan. Maka kita pergi secara solo,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di ibu negara hari ini.




No comments: