GLIC, GLC, PETRONAS Digerak Dalam Inisiatif BAKAT MADANI – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Bakat MADANI di d’Tempat Country Club di Bandar Seri Sendayan, Seremban pada 29 Jun 2026. Foto Bernama

SEREMBAN, 29 Jun – Inisiatif BAKAT MADANI diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat negara.

Melalui penglibatan tiga kumpulan strategik berkenaan, inisiatif itu menyasarkan penyertaan 25,000 individu dalam tempoh setahun menerusi program pembangunan kemahiran, penempatan pekerjaan berkualiti serta peningkatan mobiliti sosial.

“Kalau sistem negara itu teratur, politiknya stabil, rakyatnya dan masyarakatnya bersatu dan aman, banyak yang boleh kita lakukan.

“Ikhtiar ini selain program praktik pendedahan peluang, peluang kedua, peluang tak mungkin terfikir jika terus program biasa,” jelas Anwar ketika berucap merasmikan Inisiatif BAKAT MADANI, di sini, hari ini.

Anwar turut memaklumkan, inisiatif itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, termasuk memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS, selain memperluas peluang pekerjaan merentas sektor strategik negara.

Ia turut memperkasa institusi pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Berteraskan prinsip Modal Ihsan, BAKAT MADANI turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.

Tumpuan turut diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

Bagi menggalakkan penyertaan industri, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah Inisiatif BAKAT MADANI.

Insentif baharu itu turut diperluas kepada lepasan TVET, selain peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran lebih adil dan kompetitif.

Di bawah ekosistem GLIC dan GLC, Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan bakat muda menghadapi alam pekerjaan melalui latihan industri, pensijilan teknikal serta pendedahan kepada keperluan industri.

BAKAT MADANI menjadi jambatan antara bakat rakyat dan peluang ekonomi masa depan, sekali gus memastikan graduan, belia TVET serta golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan dan pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.

Kerajaan turut menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri serta institusi latihan untuk menyertai BAKAT MADANI sebagai sebahagian daripada komitmen bersama membangunkan bakat negara.



No comments: