RM2.08 bilion masuk akaun Najib dalam dua bulan, kata saksi

 

Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa, wang berjumlah RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sembilan transaksi pada 2013.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir 694, kesemua transaksi itu berlaku pada Mac dan April 2013, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata sejumlah RM465 juta di masukkan ke dalam akaun tertuduh (Najib) pada 22 Mac 2013 menerusi tiga transaksi.

“Pada 26 Mac 2013, sejumlah RM188,001,963.02 dimasukkan ke dalam dalam akaun Najib. Selain itu, pada 28 Mac tahun sama, sejumlah RM369,974,962.98 dimasukkan menerusi dua transaksi,” kata Uma Devi.

Beliau berkata sejumlah RM1,058,500,000 dimasukkan dalam akaun Najib pada 8, 9 dan 10 Apil 2013 menerusi tiga transaksi.

Saksi berkata, kesemua sembilan transaksi itu adalah berjumlah RM2,081,476,926.

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013, Tanore (syarikat dipercayai milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low) memindahkan US$681 juta ke akaun tertuduh.

Sri Ram berkata mengikut mata wang Malaysia, ia berjumlah RM2,081,471,926 dan jumlah wang itu menjadi perkara utama dalam pertuduhan ketiga dihadapi Najib.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah juga diberitahu bahawa RM2,034,350,000 dikeluarkan dari akaun Najib antara 2 Ogos 2013 dan 23 Ogos 2013, menerusi lima transaksi.

Sebelum ini, Sri Ram juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh memindahkan sejumlah RM2,034,350,000 ke Tanore Singapore dan baki RM22,649,000 digunakan untuk membayar empat entiti dan seorang individu.

Dalam penyataan pembukaannya, beliau berkata pihak pendakwaan akan membuktikan kesemua pembayaran itu memberi manfaat kepada tertuduh.

Sementara itu, ditanya Najwa sama ada kad ATM diberikan kepada pemegang akaun berakhir nombor 694, saksi berkata “no ATM card was granted as per record,”.

Uma Devi juga berkata beberapa syarikat, individu, parti dan entiti menerima cek daripada Najib sepanjang 2012.

Antaranya, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang menerima RM100,000, Barisan Nasional Negeri Selangor (RM400,000), Badan Perhubungan UMNO Pahang (RM760,000) dan Salt Media Consultancy Sdn Bhd berjumlah RM49,000.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.


No comments: