'Pemuda Pas jangan hipokrit, pemulihan Tabung Haji dilakukan PH'

 

Kenyataan Dewan Pemuda Pas berhubung prestasi memberansangkan Tabung Haji (TH) yang kononnya akibat pemulihan dilakukan oleh kepimpinan parti itu dalam kerajaan BN - PN dibidas KEADILAN Cabang Kemaman, Terengganu.


Menurut kenyataan KEADILAN Cabang Kemaman, Dewan Pemuda Pas tidak sewajarnya memutar belit fakta bahawa pemimpin memulihkan TH adalah Menteri Agama dari kerajaan Pakatan Harapan, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.


Malah ketika itu Pas memainkan pula sentimen kononnya aset TH dijual kepada bukan Islam dan menentang penstrukturan semula pelaburan TH.


"KEADILAN Kemaman membidas kenyataan Dewan Pemuda Pas berhubung dengan prestasi TH di bawah kerajaan sekarang. Kenyataan ini bersifat manipulatif dan hanya propaganda murahan daripada pihak Pas yang membodohkan rakyat.


"Kenyataan yang dimuat naik dalam laman sesawang Harakahdaily itu menyatakan konon pemulihan prestasi TH adalah hasil kewibawaan pimpinan Pas mengemudi kerajaan


"Kenyataan ini jauh tersasar daripada fakta yang sebenar di mana kerajaan PH terbukti berjaya memulihkan TH daripada penyelewangan dan salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional.


"Perkara ini dibuktikan melalui kenyataan mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof dalam laporan tahunan Tabung Haji ketika beliau memegang jawatan CEO TH," kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Kemaman itu lagi, sikap Pas yang suka membohongi penyokongnya dan rakyat Malaysia tidak melambangkan parti itu membawa syiar Islam yang mulia.


Sikap itu juga, kata mereka hanya akan membongsaikan pemikiran orang Melayu luar bandar yang sedia dimamaikan oleh politik keagamaan sempit Pas


"Sikap Pas yang terus membohongi rakyat serta sanggup merampas kejayaan kerajaan PH dengan membuat propaganda murahan seperti itu membuktikan Pas akan terus menerus berbohong dan menunggang segala dalil agama untuk kepentingan dan kerakusan politik mereka.


"Rakyat mesti disedarkan berhubung sikap Pas ini, seterusnya memastikan Pas dibenamkan dalam pilihan raya akan datang," kata kenyataan itu lagi.

No comments: