Hadi dan Muhyiddin bertemu dua jam bincang perkukuh PN


 



Gambar pertemuan dikongsi dalam status Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Dua Presiden parti dalam gabungan politik, Perikatan Nasional (PN) bertemu bagi mengadakan perbincangan semalam ditengah-tengah spekulasi terdapat usaha untuk mewujudkan semula kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dan membincangkan hala tuju kerjasama politik dalam PN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) selepas timbul laporan terdapat pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15,” kata Muhyiddin dalam status terbaharu di akaun Facebooknya hari ini.

Turut dimuatnaik gambar pertemuan Hadi dengan Muhyiddin yang turut disertai bersama Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin berkata ada membaca laporan dakwaan membabitkan Presiden Pas dan Presiden UMNO itu, dan perlu mengetahui kedudukan sebenar.

“Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.

“Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya pada Sabtu lalu.

Laporan media sebelum ini juga mendakwa Hadi dan Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU-15.

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU-15.


No comments: