PAS KEKAL MAIN DUA KOLAM SEHINGGA HARI PENGUNDIAN?

 

Di sebalik hubungan Bersatu dengan Pas yang dilaporkan sedang diselubungi awan mendung sejak kebelakangan ini, Hadi Awang malam tadi mengadakan pertemuan dengan Mahiaddin Md Yasin.

Dalam pertemuan itu, Presiden Pas ditemani Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sementara Presiden Bersatu pula diiringi Ahmad Faizal Azumu dan Dr Radzi Jidin.

Ahmad Samsuri adalah Naib Presiden Pas, manakala Ahmad Faizal dan Dr Radzi masing-masing merupakan Timbalan Presiden dan Naib Presiden Bersatu.

Memetik kenyataan Mahiaddin di laman Facebooknya yang menyiarkan gambar pertemuan itu, beliau memaklumkan perjumpaan tersebut berlangsung selama dua jam.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna.

“Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15,” tulisnya.





Sebelum ini, Mahiaddin dilaporkan mahu mendapatkan penjelasan daripada Hadi berhubung dakwaan bahawa Pas mahu berbaik semula dengan UMNO dan menghidupkan kembali MN.

Dalam usaha terbaru itu, Hadi dan Presiden UMNO, Zahid Hamidi juga didakwa telah mengadakan satu pertemuan sulit pada Selasa lalu.

Selain itu, beberapa pemimpin Pas juga secara terbuka menyanggah dan tidak setuju dengan kenyataan Mahiaddin yang menegaskan BN sebagai musuh PN.

Malah, petang semalam pun, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hasan turut mengeluarkan kenyataan media menolak pendirian Mahiaddin itu.

Tanpa menyebut nama Mahiaddin walaupun itulah maksudnya, Takiyuddin menyebut, tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan yang sama-sama membentuk muafakat dalam kerajaan sedia ada.

Kenapa Takiyuddin tidak hadir dalam pertemuan bersama Hadi dengan Mahiaddin malam tadi, walhal sebelum ini dalam banyak pertemuan yang diadakan Presiden Pas itu, beliau dan Samsuri hampir tidak pernah ketinggalan daripada menjadi peneman?

Begitu pun, apa yang menarik dalam kenyataan Mahiaddin berhubung pertemuannya dengan Hadi itu ialah banyak perkara telah dipersetujui bersama untuk mereka memperkukuhkan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Apakah dengan kenyatan itu bermaksud Pas sudah bersetuju untuk hanya komited kepada PN dan tidak lagi cuba berbaik dengan UMNO serta menghidupkan MN?

Apakah Pas turut setuju bahawa mulai sekarang BN adalah musuh kepada PN?

Tetapi, kenapa hanya Mahiaddin yang menyiarkan gambar pertemuan malam semalam di laman sosialnya, manakala Hadi langsung tidak berbuat demikian?

Apakah ini bermakna pertemuan itu tidak akan mengubah apa-apa dari segi matlamat yang ingin dicapai Pas dan mereka akan terus main dua kolam sehingga ke hari pengundian PRU15? – ShahbudinHusin 27/09/2022.

 

No comments: