MAHIADDIN BETUL BILA KATA BN MUSUH PN, SANGGAHAN PAS HANYA TUNJUK IA PARTI KEMARUK JAWATAN

 

Kenyataan Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin yang meletakkan BN sebagai musuh mereka dalam PRU15 akan datang adalah betul dan tepat.

Ini kerana, meskipun sekarang ini BN dan PN sedang bersama-sama dalam membentuk kerajaan, hubungan itu secara automatik akan berakhir sebaik saja Parlimen dibubarkan.

UMNO yang merupakan tunjang utama BN sudah berkali-kali menegaskan mereka ingin bertanding solo dan enggan bekerjasama dengan sesiapa pada PRU15 nanti.

Oleh itu, mana-mana pemimpin Pas tidak perlu menyanggah kenyataan Mahiadddin itu, sebalik mesti sedar diri dan tidak berterusan menipu diri sendiri.

Mereka bukan saja perlu menerima realiti tersebut, malah tidak wajar sama sekali terus menunjukkan sikap terhegeh-hegeh mahu berbaik dan bekerjasama lagi dengan UMNO.

Syarat untuk Pas jika ingin benar mahu bekerjasama dengan UMNO sebenarnya satu saja iaitu mereka mesti sedia meninggalkan Bersatu dan keluar daripada PN.

Soalnya, sanggupkan Pas berbuat demikian?

Jika tidak sanggup, lebih baik Pas berhenti daripada terus mahu menebalkan muka mengorat dan bersikap gila talak terhadap UMNO.

Bukankah dulu Pas juga yang menjauhi UMNO walaupun sudah bersama dalam MN demi untuk mengejar kenikmatan dunia bersama PN yang ditawarkan oleh Mahiaddin?

Apa yang dilakukan oleh Mahiaddin dengan meletakkan BN sebagai musuh, ia tidak lain ialah agar PN tidak hilang fokus dalam menghadapi PRU15 dan sedar musuh yang perlu dihadapi.

Ia memberi maksud bahawa oleh kerana PRU15 akan datang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih, selain PH yang sudah tentu merupakan musuh yang perlu dihadapi, BN yang sedang mengetuai atau memimpin kerajaan lebih perlu diberi perhatian.

Tidaklah bermaksud bahawa dengan mengatakan BN sebagai musuh, maka ia bermakna PH bukan musuh kepada PN.

Kedua-duanya adalah musuh kepada PN, sama juga bagi PH yang musuhnya adalah BN dan PN, manakala musuh bagi BN pula ialah PH dan PN.

Itulah realiti yang harus diterima oleh Pas selagi mereka berada dalam PN dan tidak mahu bercerai dengan Bersatu.

Sikap Pas yang menyanggah kenyataan Mahiaddin berkenaan BN sebagai musuh itu tidak lebih memperlihatkan ketamakan serta sikap kemaruk mereka terhadap jawatan dunia bergaji lumayan dalam kerajaan, walaupun tanpa melakukan apa-apa kerja dan hanya makan gaji buta.

Pas sekarang ini, dengan berterusan cuba mengorat dan berbaik dengan UMNO, tetapi dalam masa yang sama enggan melepaskan pelukannya daripada Bersatu, hanya menunjukkan parti tersebut bukan lagi sebuah parti perjuangan.

Dengan sikap sedemikian, Pas era Hadi Awang ini lebih sesuai dinamakan parti kemaruk jawatan dan penadah daki-daki dunia, sekaligus melupakan terus sasaran akhirat sebagai matlamat perjuangan yang sebelum ini itulah doktrin yang dipasakkan ke dalam hati para pengikutnya melalui ceramah-ceramah di seluruh negara. – ShahbudinHusin 26/09/2022.


No comments: