Perang terhadap rasuah dan membudayakan integriti mesti menjadi nadi pentadbiran PH – Anthony Loke


 *Ucapan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Kongres Khas DAP 2022*

1) Selepas Kongres Kebangsaan yang diadakan 6 bulan yang lalu, kita berhimpun semula di dewan ini untuk mengadakan Kongres Khas pada hari ini. Kongres khas ini diadakan untuk satu tujuan khusus iaitu untuk meminda Perlembagaan Parti selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang tindakan lompart parti.

2) Dalam tempoh 6 bulan yang lalu, 2 perkembangan yang sangat penting telah berlaku yang akan memberikan implikasi yang sangat besar kepada senario politik Malaysia khususnya dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang.

3) Yang pertama, Parlimen Malaysia mencipta sejarah pada 28 Julai yang lalu apabila 209 Ahli Dewan Rakyat yang hadir sebulat suara menyokong usul pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang Ahli Parlimen untuk melompat parti selepas dipilih atas kapasiti parti masing-masing. Ini secara efektifnya dapat mengadakan satu undang-undang anti-lompat parti yang telah diperjuangkan oleh DAP sejak tahun 1970an khasnya oleh Sdr Lim Kit Siang dan mendiang Sdr Karpal Singh. 

4) Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini yang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen akhirnya dapat direalisasikan kerana tindakan pimpinan DAP dan Pakatan Harapan yang berani menggunakan kekuatan politik kita di Parlimen untuk memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pentadbiran Dato’ Seri Ismail Sabri pada 13 September 2021 untuk menstabilkan keadaan politik negara semasa kemuncak pandemik wabak Covid-19 melanda negara. 

5) Dalam proses rundingan sebelum MOU itu ditandatangani, syarat yang paling penting yang diletakkan oleh pimpinan PH yang tidak boleh dikompromi atau “non-negotiable” ialah pindaan perlembagaan untuk membolehkan undang-undang akta-anti lompat parti dilaksanakan. Undang-undang ini amat penting dilaksanakan sebelum PRU-15 untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara dan kebolehpercayaan sistem pilihanraya kita. 

6) Saya sedar bahawa selepas MOU itu ditandatangani, ramai ahli dan penyokong kita berasa amat bimbang malah ada yang keliru mengapa pucuk pimpinan bersetuju dengan persefahaman ini dengan pihak kerajaan? Adakah kita sudah menyokong BN dan PN? Ada pula pihak yang menuduh kita menjual prinsip seolah-olah nak dapatkan peruntukan kawasan. 

7) Kejayaan pindaan Perlembangaan Persekutuan ini membuktikan segala tuduhan yang dilemparkan kepada kita adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Ia juga membuktikan keputusan pimpinan tertinggi parti yang diterajui oleh Sdr Lim Guan Eng pada ketika itu adalah satu keputusan yang berani dan strategik.

8) Bayangkan sekiranya kita tidak mengambil langkah berani tersebut pada bulan September 2021, sepanjang 12 bulan yang lalu kita hanya menjadi “bystander” dalam politik Malaysia dan bukannya memainkan peranan sebagai agen perubahan walaupun DAP merupakan parti yang terbesar di Dewan Rakyat sekarang dengan 42 kerusi. 

9) Proses yang telah kita lalui ini akan menjadi pedoman kepada saya untuk terus  memacu hala tuju parti dengan pemikiran yang strategik, pendekatan yang fleksibel dan keputusan yang inklusif. 

10) Sebelum kita memasuki gelanggang PRU15, marilah kita menghayati satu taktik perlawanan yang diilhamkan oleh seorang lagenda kungfu iaitu Bruce Lee. Bruce Lee pernah kata “Be Water, My Friend. Empty your mind. Be formless, shapeless, like water. You put water into a cup, it becomes the cup, you put water into a bottle, it becomes the bottle, you put into a teapot, it becomes the teapot. Now water can flow or it can crash. Be water, my friend”.

11) Ia membawa maksud bahawa kita tidak boleh terperangkap dalam paradigma yang lama dalam pendekatan dan strategi politik kita. Kita mesti berani untuk membuat perubahan mengikut keperluan semasa dan mengorak langkah yang strategik demi mencapai matlamat perjuangan parti. 

12) Namun begitu, saya ingin memberi jaminan kepada semua ahli dan penyokong DAP bahawa apapun pendekatan dan strategi yang bakal diambil, saya selaku Setiausaha Agung parti tidak akan sesekali melupakan asas dan prinsip perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi, keadilan, kebebasan, budaya integriti dan pentadbiran baik (good governance).

13) DAP bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan mesti bertekad untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang meluhurkan Perlembagaan Persekutuan dengan berpaksikan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan pada masa yang sama, menjamin dan menghormati kemajmukan dan kepelbagaian di kalangan rakyat Malaysia dari segi agama, kaum, bahasa dan budaya. 

14) Dalam soal menghormati kemajmukan dan kepelbagaian, kita mesti mengambil contoh yang terbaik daripada pengalaman di wilayah Sabah dan Sarawak. Kedua-dua wilayah ini merupakan manifestasi semangat rakyat Malaysia yang terbaik yang patut diteladani di Semenanjung. Pada masa yang sama, aspirasi rakyat di wilayah Sabah dan Sarawak untuk memperjuangkan lebih banyak autonomi pentadbiran demi memelihara keunikan kehidupan masyarakat tempatan perlu dihormati dan direalisasikan. 

15) Kita mesti memartabatkan semangat “perpaduan dalam kepelbagaian” atau “unity in diversity”. Kita mesti menyakinkan rakyat bahawa kepelbagaian di kalangan masyarakat kita bukanlah satu penghalang kepada perpaduan tetapi  merupakan aset terbesar untuk negara kita untuk maju ke hadapan secara bersama. 

16) Kita mengejar kuasa bukan demi jawatan atau memperkayakan diri tetapi kuasa politik diperlukan untuk melaksanakan apa yang kita perjuangkan selama ini seperti pepatah “Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata”. Pemimpin DAP dan Pakatan Harapan mesti berazam untuk menganggotai pentadbiran negara demi menyumbang kepada reformasi institusi untuk membudayakan integriti dalam kerajaan, membantu menyediakan persekitaran ekonomi yang menjana peluang pekerjaan yang memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia, melaksanakan dasar untuk memerangi kesan perubahan iklim, meningkatkan mutu sistem pendidikan negara untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing, memperbaiki sistem pengangkutan awam ke arah yang lebih efisyen dan banyak lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat dan negara dalam dekad yang akan datang. 

17)  Pendek kata, kita ingin menjadi penyumbang kepada proses pembinaan negara atau nation building. We want to be “nation-builder”, not as “slogan cheerleader”. 

18)  Perkara kedua yang memberikan kesan yang besar kepada lanskap politik ialah keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib. Pemenjaraan Najib merupakan manifestasi makna perubahan bersejarah pada 9 Mei 2018. Sekiranya Pakatan Harapan tidak berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU14, Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri sampai hari ini dan bukannya merengkuk di Penjara Kajang menerima hukuman yang setimpal dengan jenayah rasuah besar yang dilakukan.

19) Apa yang berlaku ke atas Najib mesti menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik termasuk diri kita supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa dan memecahkan amanah yang diberikan oleh rakyat. 

20)  Beberapa hari yang lalu, DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa amalan rasuah di negara ini telah sampai ke tahap yang membahayakan dan menjadi penyakit barah dalam masyarakat kita sehingga membantutkan pertumbuhan ekonomi dan membawa pelbagai kesan yang amat buruk kepada kehidupan rakyat. 

21) DAP bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan mesti menyahut titah Baginda Sultan Perak dengan menjadikan perang terhadap rasuah sebagai misi dan agenda utama perjuangan politik kita untuk memenangi PRU15 dan menerajui tampuk pemerintahan negara.

22) Perang terhadap rasuah dan membudayakan integriti di kalangan rakyat Malaysia mesti menjadi nadi pentadbiran Pakatan Harapan. 

23) Tidak seperti sebuah parti yang lain, DAP menentang rasuah tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama. Kita benci kepada perasuah tak kira mereka bernama Najib ataupun Jho Low. Yang menerima atau yang memberi sama-sama salah lebih-lebih lagi yang menjadi “mastermind”. 

24)  Perhimpunan perwakilan peringkat kebangsaan pada hari ini merupakan yang terakhir sebelum PRU15. Sebentar nanti, saya akan menyerahkan bendera parti kepada setiap Pengerusi Negeri sebagai simbolik pelancaran persediaan jentera pilihanraya DAP di seluruh negara. Saya yakin semua jawatankuasa negeri sedang rancak membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. 

25)  Bagi pihak parti, saya ingin mengulangi pendirian kita bahawa DAP tetap komited terhadap Pakatan Harapan dan kita akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan. Kita mengangkat semangat, dasar dan kepimpinan Pakatan Harapan untuk menuju ke Putrajaya. 

26) Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan bahawa semua parti komponen akan menggunakan logo bersama. Saya amat yakin soal logo ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. 

27) Dalam soal pengagihan kerusi, rundingan sedang rancak diadakan setiap minggu dan disasarkan untuk diselesaikan secepat mungkin. Dalam proses rundingan ini, mesti ada semangat “give and take” dan faktor kebolehmenangan atau winnability perlu diambil kira. Seperti nasihat orang tua-tua, “yang meminta janganlah tamak, yang memberi janganlah kedekut”. 

28)  Dalam mengorak strategi untuk calon-calon DAP pula, saya tidak akan lupa kepada peranan DAPSY dan Wanita. Peluang sudah tentu akan diberikan kepada calon-calon muda yang menjadi pelapis kepada kepimpinan parti terutamanya di peringkat kerusi DUN. 

29) Kita amat bangga dengan prestasi dan kebolehan pemimpin Wanita kita sama ada di peringkat Parlimen ataupun negeri. Percayalah, wanita dalam DAP akan terus diperkasakan dan memainkan peranan kepimpinan yang penting untuk memacu kejayaan DAP.

30) Saya mengajak seluruh keanggotaan DAP untuk bangkit berjuang bersungguh-sungguh dalam PRU15 untuk membina sebuah Malaysia yang progresif, berintegriti, menghormati kemajmukan dan mengembalikan kewibawaan negara di persada antarabangsa. 



No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

PH-BN AKAN JADI GABUNGAN BESAR – ZAHID HAMIDI

  Kerajaan Perpaduan dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini terus menjadi gabungan besar yang tidak akan berakhir ...