PKR umum 5 calon PRN Johor


Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan calon bagi zon selatan Johor dengan parti itu bertanding di DUN Tiram, Larkin, Kempas, Bukit Batu dan Pasir Raja.

PETALING JAYA: PKR mengumumkan kumpulan pertama calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan parti itu masih belum bertembung dengan MUDA untuk mana-mana kerusi.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan calon zon selatan Johor dengan parti itu akan bertanding di DUN Tiram, Larkin, Kempas, Bukit Batu dan Pasir Raja.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mengesahkan MUDA akan bertanding di DUN Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai.

PKR akan mengumumkan calonnya bagi zon utara dan tengah Johor selepas ini.

Anwar mengumumkan penyandang DUN Tiram, S Gopalakrishnan akan menjadi calon di kerusi itu sekali lagi mewakili PKR.

Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis diumumkan sebagai calon di DUN Kempas.

PKR turut menampilkan muka baharu iaitu Setiausaha Pemuda PKR Johor, Fakhruddin Moslim, 34, di DUN Pasir Raja dan Arthur Chiong Sen Sern, 32, di kerusi Bukit Batu.

Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ditampilkan semula sebagai calon di DUN Larkin.

Turut hadir dalam majlis penamaan calon di Johor Bahru itu bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Ketua PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.

Sebelum ini, Gopalakrishnan mengecam Syed Saddiq kerana mendakwa masyarakat India di Ulu Tiram tidak berpuas hati dengan prestasinya dan mahukan perubahan.

Syed Saddiq kemudian memohon maaf kepada Naib Ketua PKR Johor itu.

Minggu lalu, Napsiah menyatakan kekecewaan dengan keputusan Amanah menyerahkan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA

“Kita tidak tahu bagaimana kesetiaan MUDA kepada kita, tidak teruji pun lagi, jadi itu yang kita pertikaikan,” katanya.

Ini diikuti dengan laporan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara PKR dan MUDA menemui jalan buntu.

Pada 9 Feb, PKR berkata ia menawarkan kepada MUDA tiga kerusi untuk pilihan raya Johor.

Minggu lalu, DAP dan Amanah mengumumkan mereka memutuskan untuk membenarkan MUDA bertanding di enam kerusi pada PRN Johor, walaupun rundingan parti baharu itu dengan PKR masih diteruskan pada masa itu.


No comments: