Langgar SOP Covid-19, Yeoh tuntut Hishammuddin letak jawatan

 

Hishammuddin Hussein yang bertanggungjawab mengurus dan mengumumkan SOP Covid-19, ‘tidak boleh dimaafkan’ kerana melanggar peraturan ditetapkannya sendiri, kata Hannah Yeoh.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menuntut Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada satu majlis di Johor.

Yeoh berkata, pelanggaran SOP pada acara MIC itu “tidak boleh dimaafkan” memandangkan Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 dan bertanggungjawab mengurus dan mengumumkan SOP Covid-19.
“Ini adalah kegagalan kepimpinan yang serius dan Hishammuddin mesti meletak jawatan atau digugurkan sebagai Menteri Kanan.

“Saya berpendapat, Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan mengumumkan SOP Covid di peringkat kebangsaan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Yeoh mempersoalkan bagaimana rakyat boleh mempercayai Hishammuddin untuk memutuskan SOP selepas ini.

Hishammuddin dilihat dalam video bergaul dalam khalayak ramai semasa pelancaran Briged MIC Johor di Kota Iskandar semalam.

Dalam ciapan di Twitter, beliau kemudiannya mengaku melakukan kesalahan dan “tiada siapa terlepas daripada undang-undang”, termasuk dirinya sendiri.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kemudiannya mengarahkan notis kompaun dikeluarkan atas pelanggaran peraturan penjarakan fizikal.

Presiden MIC SA Vigneswaran dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad, yang juga penyandang jawatan Menteri Besar Johor, turut dikenakan notis.

No comments: