Semoga Sanusi tidak balik Kedah dengan garuda yang terbang tersipu sipu

 



Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor kini menjadi sasaran Umno apabila menyerang bekas rakan Muafakat Nasional (MN) Pas itu.

Selepas Perdana Menteri sendiri membalas kenyataan Sanusi bahawa “Umno punca kerajaan tidak stabil”, pemimpin-pemimpin Umno lain berduyun-duyun menyerang Sanusi.

“Semoga Sanusi tidak balik Kedah dengan garuda yang terbang tersipu sipu,” kata anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi menyindir Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang kini pengarah jentera Pas dalam PRN Johor itu.

Puad dipercayai berkata demikian berikutan kenyataan Sanusi bahawa negara ini hanya akan stabil apabila Umno tidak berkuasa.

“Bila kerusi Umno sangat kurang sehingga kalau dia tarik diri pun kerajaan tidak tumbang, itulah formula mewujudkan kestabilan politik di Malaysia,” kata Sanusi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional Negeri Johor di Taman Sri Wangsa, Parit Besar, Batu Pahat 12 Februari lalu.

Menurut Puad, kenyataan yang dibuat oleh Sanusi itu adalah sebagai pengarah jentera Pas untuk PRN Johor.

“Rupanya MB Kedah adalah Pengarah jentera Pas untuk PRN Johor. Semoga dia tidak bawa varian “lok lak” ke negeri Johor.

“YAB nak main bola di Stadium JDT? Semoga Sanusi tidak balik Kedah dengan garuda yang terbang tersipu sipu,” kata Puad menerusi facebook beliau.

Sebelum ini, Pas telah menolak kerjasama dengan Umno apabila rakan kongsi Muafakat Nasional Pas itu hanya menawarkan empat kerusi sahaja untuk Pas dalam PRN Johor.


No comments: