Pemuda Umno cabar Sanusi bubar DUN Kedah kalau anak jantan
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dicabar untuk mengumumkan penamatan Muafakat Nasional (MN) dan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam tempoh segera.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi membuktikan Muhammad Sanusi sememangnya bermaruah dan anak jantan.
Katanya, jawatan Menteri Besar yang dipegang Muhammad Sanusi itu juga bukan disebabkan kekuatan Pas di Kedah sebaliknya diperoleh secara ‘percuma’ akibat ketidakstabilan politik di negeri ini satu masa dulu.
“Muhammad Sanusi tahu bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dimenangi Pakatan Harapan atas penipuan, dusta, bohong dan fitnah terhadap rakyat. Malah beliau sendiri menjadi Menteri Besar secara percuma disebabkan ketidakstabilan politik dan bukannya kerana kekuatan Pas.
“Jika benar beliau bermaruah dan anak jantan, sila umum tamatkan MN dan bubar DUN Kedah dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) Johor semalam, Muhammad Sanusi berkata, terdapat satu formula mudah untuk mewujudkan kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya iaitu dengan memastikan UMNO mendapat kerusi yang sedikit, hingga tidak mampu menumbangkan kerajaan walaupun mereka menarik diri.
Malah ketika berucap pada Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya PN Kawasan Pulai sebelum itu, sebuah akhbar memetik kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa UMNO sebagai tamak kerana sudah menerima macam-macam, tetapi kalau boleh mahukan semua.
Syed Johan yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah berkata, kenyataan dibuat Muhammad Sanusi itu juga merupakan ‘fatwa’ terbaru Pas untuk meruntuhkan MN sekali gus menandakan bahawa mereka lebih suka bersama parti dipenuhi ‘katak’, yang bersekongkol menipu rakyat bersama PH pada PRU-14.
“Kenyataan itu juga menunjukkan beliau dayus kerana tidak berani berkata sedemikian kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN secara berdepan. Sebaliknya kenyataan tersebut dibuat ketika beliau berada di negeri paling selatan,” katanya.
Sementara itu Syed Johan berkata, tindakan membubarkan DUN Johor merupakan keputusan berani dan bertanggungjawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad ketika Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor itu mahupun sesiapa saja, tidak dapat menjamin BN akan kembali menang dalam PRN itu nanti.
“Jadi tuduhan Muhammad Sanusi yang mengatakan kononnya BN tamak adalah tidak berasas, tidak benar dan sengaja dilontarkan untuk memburuk-burukkan BN,” katanya.