BELUM DAPAT SURAT PECAT- SABAR AKAN TIBA DIDEPAN PINTU

 

‘Belum dapat notis rasmi’, kata Zuraida berhubung status dalam Bersatu




Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin
 merasmikan Konvensyen dan Expo Antarabangsa Industri Getah
 Malaysia hari ini.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Zuraida Kamaruddin belum menerima sebarang notis rasmi berhubung statusnya dalam parti itu.

Zuraida yang baharu pulang dari lawatan kerja rasmi ke Iran berkata, sehingga kini beliau masih lagi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya baharu balik dari Iran, saya tahu saya masih menteri di sini.

“Saya tak tahu apa yang berlaku dan saya tak dapat sebarang notis rasmi daripada parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen dan Expo Antarabangsa Industri Getah Malaysia.

Zuraida mengulas statusnya susulan Bersatu dilaporkan sedang membuat penilaian berhubung dakwaan pembabitannya dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada 7 Feb lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, jawatan MPT dan status Zuraida sebagai menteri menjadi pertaruhan jika dakwaan terlibat dengan PBM didapati benar.

Muhyiddin berkata, pihaknya belum menerima “kenyataan sebenar” Zuraida “walaupun banyak yang katakan beliau sudah menyertai parti lain.”

Sebelum ini, sumber memberitahu Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini dan menyertai PBM sebelum PRU15.

Menurut sumber, Zuraida berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

Pada 4 Feb  lalu, Zuraida turut disahkan dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai Presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu juga dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa Zuraida dikaitkan dengan PBM.

Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menyambut baik penyertaan parti baharu seperti MUDA dan PBM yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Katanya, ia adalah proses demokrasi yang harus disambut kerana beliau percaya parti yang bertanding pasti mahu memberikan khidmat terbaik buat rakyat dan negara.

“Saya sangat alu-alukan. Ia adalah langkah demokrasi, saya percaya mana-mana parti politik dalam negara ini mahu memberikan yang terbaik untuk negara.

“Selagi objektif (parti itu) mahu berkhidmat kepada rakyat, kita patut alukan mereka. Kalau mereka melencong daripada matlamat asal, kita tak perlu pergi pada mereka,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac ini dengan hari penamaan calon ditetapkan 26 Feb.

No comments: