Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama- SIRI 4


 SIRI 4

‘Politik P Besar’ lawan ‘politik p kecil’

Parti lama seperti Umno-BN, pembentukan parti serta gabungan yang baru, mengadakan pilihan raya – semua ini berkait rapat dengan ‘Politik P Besar’, ruang politik prosedur yang hanya kisah dengan pergulatan merebut kekuasaan. Politik P Besar ini dikuasai oleh Umno-BN lebih dari 60 tahun. Rakyat biasa tidak mempunyai suara atau kuasa terhadap Politik P Besar yang sebegini. 

Mujur, wujud sebuah bentuk politik baru: ‘politik p kecil’, yang bergerak di luar kerangka parti politik serta pilihan raya formal. Ia digerakkan oleh kelas menengah yang terpelajar, terutamanya mereka yang muda. Ruang politik ini termasuklah isu serta advokasi berkaitan pentadbiran yang telus; melibatkan isu hak asasi dan keadilan, termasuklah buat pekerja migran, Orang Asli dan Orang Asal; kesetaraan gender, pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar serta budaya warisan, termasuklah bagi menaikkan muzik dan seni berasaskan rakyat. Melawan rasuah serta kronisme, serta berusaha untuk mendampingi rakyat dari latar etnik-agama yang berbeza menerusi dialog rentas agama juga turut menjadi asas kepada politik p kecil.

Ya, mereka yang cenderung kepada politik p kecil ini menuntut untuk didengar suara dan berunding. Mereka gemar menghadiri mesyuarat peringkat tempatan, menandatangani petisyen serta mengeluarkan kenyataan bersama. Mereka juga celik IT dan menggunakan Facebook, Twitter, WhatsApp, TikTok, Instagram dan YouTube bagi menyebarkan pendapat, sumber serta maklum balas mereka.

Mereka juga menghadiri protes besar-besaran seperti Bersih dan juga sekecil-kecil protes seperti #TangkapAzam Baki. Mereka gemar menganjurkan ‘flash mob’ di jalanan serta di gedung beli-belah.

Mereka semua terdedah kepada, jika tidak terlibat secara terus, dengan bentuk politik p kecil yang sebegini dalam mengedepankan tuntutan dan isu mereka dengan tidak semestinya kisah untuk semata-mata mengundi bagi menukar kerajaan dari semasa ke semasa.

Bekerja bersama

Sentimen kecewa dengan Politik P Besar, bukan saja dengan mereka yang berkuasa tetapi juga dengan pembangkang, serta pemimpin mereka juga tampaknya semakin meluas.

Akhirnya, ada ura-ura, terutamanya di antara kelompok NGO “untuk buat hal sendiri”, “untuk menubuhkan parti sendiri” serta berniat “untuk meletakkan calon mereka sendiri”, dengan tujuan akhir bagi menjalankan rancangan mereka pada pilihan raya akan datang.

Saya merasakan ia sebuah langkah yang barangkali tidak memberikan apa-apa manfaat. Benar yang masalah wujud dengan parti pembangkang serta pemimpin mereka yang sedia ada. Namun, rancangan ini perlu difikirkan dengan penuh cermat dan perlulah sokongan yang meluas. Mana-mana parti alternatif yang baru perlu bersedia untuk bertanding di kebanyakan kerusi dan bersedia untuk menang selepas kiraan undi selesai: sasarannya hanya satu – membentuk kerajaan baru. Namun rancangan sebegini nampaknya tidak pernah dibincangkan dengan orang awam.



Tidak seperti anak muda di Myanmar, kita di Malaysia tidak mengambil jalan revolusionari untuk berkuasa. Tidak juga seperti mereka yang di Indonesia, yang cukup teruja dengan pemimpin baru mereka, yang cukup berbeza dengan pemimpin tentera sebelum ini. Di Indonesia, gerakan reformasi terus bergerak.

Pilihan di Malaysia cukup terhad dan sungguh terbatas. Walaupun betapa kecewanya kita, namun kita harus mencuba untuk mengahwinkan penglibatan politik p kecil yang partisipatori ini dengan Politik P Besar, melibatkan NGO yang bergerak berasaskan politik tuntutan serta proses pilihan raya formal berasaskan parti dan bagaimana mereka dapat membicarakan isu yang luas secara serentak.

Kita tidak boleh menilai begitu tinggi impak daripada aktivisme berasaskan NGO yang digerakkan isu – seperti memprotes isu Azam Baki yang cukup kontroversi ini atau apabila menuntut agar kerajaan lebih bersedia dalam menguruskan banjir.

Pada waktu sama, kita juga jangan memandang rendah kesan, pengaruh serta kemampuan parti politik tertentu untuk ‘membeli’ (di mana di Malaysia, mereka mempunyai sumber – melibatkan media arus perdana, kewangan yang kukuh bagi membiayai proses pilihan raya, serta jentera gerak kerja sama ada yang dimiliki oleh parti atau pun oleh kerajaan, yang digunakan bagi parti mereka sendiri). Mereka juga ada kemampuan untuk menurunkan umur mengundi ke 18, memasukkan semula agenda berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 dan bermacam-macam perkara lagi.

Parti politik juga punya cara mereka tersendiri untuk menyaingi NGO. Mereka pastinya berupaya untuk memanipulasi media serta memburuk-burukkan individu atau kelompok (bahkan parti pembangkang dan pemimpin mereka). Mereka boleh ‘merampas’ perbincangan yang serius dan mengubahnya menjadi sebuah perkara hitam-putih, melagakan kita di antara satu sama lain dan kadang menjadi cercaan yang berbaur perkauman.

Oleh kerana itu, kita di NGO ini perlu bekerja bersama dengan pembangkang, tidak kiralah seburuk dan sebaik mana pun keadaannya. Kita yang berada di ruang politik p kecil perlu terus bekerjasama dengan mereka yang berada di dunia Politik P Besar. Bersama, kita berupaya memberi Harapan dan kemungkinan Perubahan yang lebih Baik.

Ayuh kita bersedia menuju ke pilihan raya bersama-sama. Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Januari 2022