Ayuh bekerja bersama dalam mengiringi Perubahan serta Harapan bagi Malaysia yang lebih baik bagi pilihan raya akan datang
Beberapa perkembangan dramatik yang cukup memberi Harapan berlaku sejak bulan lalu
Sungguh tidak disangka, masyarakat sivil serta orang ramai menunjukkan rasa cukup meluat terhadap ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, melibatkan pemegangan sahamnya yang kontroversi itu. Di sini, kita melihat susuk yang sepatutnya bertanggungjawab melawan rasuah di dalam negara. Namun, beliau didakwa memiliki pegangan saham di luar kemampuan serta yang dibenarkan selaku seorang penjawat awam.
Pastinya, ia menandakan wujud percanggahan kepentingan – SPRM sepatutnya menjadi simbol Malaysia melawan rasuah, namun apa yang berlaku adalah integriti ketuanya pula dipersoal secara umum!
Benar, begitu ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar – tua dan muda, dari kelas yang berbeza, serta latar belakang etnik-agama yang rencam – tampil ke hadapan bagi menyatakan betapa meluatnya mereka akan keadaan sekarang. Mereka mahukan Azam untuk meletak jawatan atau pun tidak dibenarkan bertugas sementara.
Orang awam juga tidak yakin apabila melihat bagaimana mereka yang di tampuk kuasa mendukung Azam. Malahan, mereka yang di tampuk kuasa mengkritik pula mereka yang cuba untuk meminta Azam meletak jawatan. Walhal, apa yang dimahukan oleh orang awam adalah sebuah siasatan bebas.
Aliran cukup berbangga di mana kami memainkan peranan penting di dalam kempen ini bagi menyiasat pemegangan saham Azam yang cukup kontroversi itu. Kami melancarkan petisyen dalam talian bagi menuntut perdana menteri untuk menyiasat hal ini.
Beriringan dengan perkara ini, kami juga mengeluarkan kenyataan bersama beberapa NGO terkemuka bagi mewakili suara rakyat Malaysia yang rencam, bagi mendesak siasatan bebas dilakukan melibatkan hal ini serta rombakan sepenuhnya SPRM. Desakan ini memuncak dengan berjalannya perarakan #TangkapAzamBaki pada 22 Januari lalu.
Bagaimana seseorang dapat memperjelaskan sentimen rakyat yang cukup meluat sepanjang bulan Januari 2022 ini yang berlaku sejurus selepas kemenangan selesa gabungan pemerintah di Melaka dan kemudiannya di pilihan raya negeri Sarawak pada akhir 2021 yang lalu?
Barangkali cara kerajaan Perikatan Nasional yang tidak bersedia serta tidak cekap dalam menguruskan banjir besar baru-baru ini turut menyumbang kepada sentimen sebegini.
Banjir di Lembah Klang serta ‘kawasan membangun’
Buat pertama kalinya, banjir menyelubungi kawasan ‘maju’di pantai barat semenanjung Malaysia, terutamanya di Lembah Klang – dan bukan sahaja berlaku di tempat yang jauh, misalannya seperti di Kelantan dan Terengganu, atau Sarawak dan Sabah seperti yang berlaku kebiasaanya.
‘Kawasan maju’ ini lebih tersusun, namun kurang kehijauannya: di mana sungai diubah menjadi longkang. Berbeza dengan keadaan muka bumi yang lebih alamiah, lebihan air tidak dapat diserap masuk ke dalam tanah.
Jadi, sungai yang dikonkritkan serta ditukar menjadi longkang itulah yang mengakibatkan air hujan penuh di dalam longkang dan sekaligus menjadikan air naik begitu deras. Selama tiga hari, itulah apa yang berlaku di Lembah Klang serta sebahagian kawasan di Pahang.
Kita semua pastinya menerima serta menonton begitu banyak video, hantaran di Instagram, klip TikTok, meme, serta maklumat di WhatsApp (dan segala macam benda lain!) tentang banjir, yang kemudiannya kita turut kongsikan kepada yang lain.
Terdapat sesetengah dari kita turut turun untuk membantu saatnya paras air meningkat atau ada yang bersama membersihkan selepas banjir mereda. Ada juga yang membantu dengan mengumpul bantuan bagi membantu rakyat Malaysia lainnya untuk membina semula rumah mereka.
Perlu juga ditekankan bahawa banjir kali ini turut melanda masyarakat bandar yang terpelajar dari kelas menengah melibatkan beberapa kota. Menyaksikan bagaimana kawasan perumahan, taman, lebuhraya serta gedung membeli-belah; sekolah, kuil, masjid serta gereja; dan kenderaan mereka sendiri tenggelam pastinya meninggalkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia yang terkesan. Rujuk rencana oleh JD Lovrenciear berjudul “Flood havoc: Choose capable leaders to save Malaysia” yang ditulis pada Januari 2022 bagi maklumat lanjut.
Sewaktu banjir melanda, wujud gabungan NGO baru yang muncul bagi menuntut agar kerajaan mengambil kisah keadaan mereka yang terkesan dengan lebih serius. Mereka mendesak agar kerajaan melaksanakan usaha jangka masa panjang melibatkan pembangunan mapan bagi menyelesaikan masalah melibatkan banjir kilat – kerana banjir yang berlaku melibatkan beberapa faktor seperti pembalakan yang semakin banyak, pembangunan yang tidak dirancang baik, serta perubahan dalam pengurusan sungai.
Pada masa sama, Ombak-Ombak ARTStudio yang aktif di Pulau Pinang, juga meraikan ulangtahunnya yang ke-10 dengan mengimbau semula persembahan mereka melibatkan apa yang berlaku di Sungai Pinang, lembangan sungai terbesar di Pulau Pinang. Jadi, untuk beberapa bulan lamanya, mereka menyediakan persembahan yang menggabungkan wayang, tarian serta muzik yang berjudul Wayang Pacak – Seruan Nadi: Tangisan Sebuah Sungai Yang Nazak. Persembahan ini diadakan di Pulau Pinang pada 17 dan 18 November 2021, yang turut distrim secara langsung kepada penonton dengan lebih ramai.
Melihat kepada apa yang berlaku sewaktu banjir di Lembah Klang, Ombak-Ombak turut menyediakan video persembahan mereka, termasuklah klip bagaimana kita tidak sepatutnya ‘melayan’ sungai kita, bagi tujuan kesedaran orang ramai. Jemputlah semak artikel Tan Sooi Beng berjudul “Twist of fate? Dance musical about rivers under threat coincides with overflowing rivers in Selangor”, di mana anda akan dapat melihat videonya juga. Layan!