Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama- SIRI 3


 

Perubahan yang dicapai menerusi MoU

Sebuah lagi berita yang memberi Harapan kepada kita melibatkan barisan pembangkang ‘tradisional’. Barangkali kalian ada membaca rencana oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkenaan dengan status memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh pembangkang dengan Ismail Sabri ketika beliau naik ke tampuk kuasa pada pertengahan 2021 lalu.

Ketika itu, ramai rakyat Malaysia yang gusar akan keadaan semasa negara – dengan pandemik Covid yang semakin memburuk, ekonomi merudum dan penggangguran meningkat, serta segala macam percaturan politik sejurus selepas Langkah Sheraton.

Jadi, berbanding memilih untuk mencabar Ismail Sabri lewat undi tidak percaya di dalam Parlimen, yang barangkali akan mengakibatkan pembubaran serta sekali lagi pilihan raya saat pandemik semakin memburuk, pihak pembangkang yang mengikut permohonan Agong, bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan baru. MoU itulah hasilnya.

Tampaknya, terdapat 18 tuntutan yang dipersetujui. Menurut Wong Cheng, 13 dari tuntutan ini sudah diselesaikan, tiga masih belum selesai, dan dua lagi masih berlangsung.


Perubahan yang diselesaikan adalah:

  1. Penurunan umur minimum mengundi ke umur 18
  2. Perubahan keperlembagaan Perjanjian Malaysia 1963
  3. Memasukkan ahli parlimen pembangkang ke dalam majlis pemulihan kebangsaan
  4. RM45bn untuk Covid
  5. Penambahbaikan bagi pedekatan mencari, menguji, menjejak, mengasing dan menyokong serta pemvaksinan
  6. Bantuan RM10bn melibatkan 11 juta penduduk yang terkesan
  7. Pengecualian bunga bank bagi warga miskin
  8. Bantuan bagi perusahaan kecil dan sederhana 
  9. Bekalan vaksin yang mencukupi
  10. Memperkasa ahli jawatankuasa terpilih parlimen
  11. Peruntukan samarata bagi MP (tanpa mengira parti)
  12. Kepengerusian jawatankuasa terpilih yang seimbang
  13. Menaikkan kedudukan ketua pembangkang bersesuaian dengan sistem demokrasi Westminster

Tuntutan yang belum diselesaikan adalah:

  1. Undang-undang mengekang lompat parti (dijangkakan pada Jun 2022)
  2. Mengehadkan jawatan PM selama tempoh 10 tahun (dijangkakan pada Mac 2022)
  3. Akta Perkhidmatan Parlimen (dijangkakakan pada Mac 2022).

Nampaknya, perbincangan masih berlangsung melibatkan lagi dua perkara iaitu:

  1. Kebebasan kehakiman
  2. Reformasi melibatkan peraturan mesyuarat Parlimen

Tampaknya menerusi rencana Wong Chen ini, pembangkang juga berkongsi tanggungjawab bersama bagi menambah baik keadaan di Malaysia bagi menguruskan pandemik Covid.

Statistik yang seringkali dibentangkan oleh menteri kesihatan menunjukkan hampir 90% dari populasi dewasa di Malaysia sudah menerima suntikan yang pertama dan kedua, sekali gus menempatkan Malaysia di antara negara penerima vaksin paling tinggi di dunia. Ia sesuatu yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan masa yang dihadapi pada awalnya, termasuklah kekurangan akses kepada vaksin serta tindak balas caca-marba oleh bekas menteri kesihatan ‘air suam’ ketika itu. Ia sesuatu yang baik juga untuk pembangkang berjaya untuk mempengaruhi dan memberi tekanan kepada kerajaan supaya meneruskan bantuan RM45bn bagi menguruskan Covid.

Juga, pembangkang menyatakan bahawa mereka memainkan peranan dalam mempengaruhi kerajaan bagi membiayai serta memperkenalkan program pemulihan ekonomi. Ia termasuklah memastikan dana sebanyak RM10bn disediakan bagi warga Malaysia yang terkesan, membantu perusahaan kecil dan sederhana serta mengecualikan bunga bayaran bank kepada warga miskin.

Paling penting, kerajaan dan pembangkang juga harus berbangga dalam meluluskan usul bagi menurunkan umur minima pengundi ke 18. Ya, usul ini diterima ketika saat akhir sewaktu Mahiaddin Yasin menjadi PM. Jadi, ia sesuatu yang cukup baik ia akhirnya diluluskan.

Nampaknya, pengundi baru sekarang tidak lagi perlu mendaftar untuk mengundi. Menurut Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pilihanraya, nama mereka akan dimasukkan ke dalam senarai pengundi dan mereka akan dapat mengundi pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang, jika mereka mahu.

Syabas juga kepada kerajaan kerana meluluskan pendaftaran parti baru, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dengan atau tanpa desakan pembangkang.

Memasukkan semula agenda Perjanjian Malaysia juga cukup signifikan. Benar, ia menyumbang kepada kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak pada pilihan raya negeri baru-baru ini. Lebih penting, ia juga mengembalikan janji Kuala Lumpur untuk autonomi dalam beberapa bidang ke Kuching dan Kota Kinabalu, seperti yang dipersetujui ketika mereka menjadi sebahagian dari Malaysia pada tahun 1963.

Pun begitu, saya kecewa bahawa agenda untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan tidak dimasukkan di dalam senarai MoU. Saatnya di seluruh dunia bergerak bagi mendesentralisasi kerajaan bagi menggalakkan demokrasi partisipatori serta pentadbiran yang efektif di peringkat tempatan, kita masih enggan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican, mendakwa bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian, kerana sistem lantikan sedia ada sudah pun berfungsi sebaiknya. Beliau takut jika berlaku pemilihan di peringkat tempatan, ia akan mengganggu mereka yang ingin berkhidmat dari melakukan kerja mereka dengan baik.

Tambahan lagi, beliau berkata, menganjurkan sebuah lagi peringkat pilihan raya akan melibatkan belanja sebanyak RM302 juta setiap dua tahun, kerana ini akan melibatkan 151 kawasan tempatan di mana setiap kawasan menelan belanja sebanyak RM2 juta (The Malay Mail, 9 December 2021).

Jelas, menteri ini tidak tahu apa yang diperkatakannya. Ingat, Indonesia dan Filipina, yang kedua-duanya bukanlah sebuah negara persekutuan, juga menjalankan reformasi yang menyeluruh bagi proses desentralisasi kerajaan tempatan, termasuklah mengembalikan pilihan raya di peringkat tempatan. Keduanya, lebih-lebih lagi Indonesia, menunjukkan pembangunan ekonomi yang baik di peringkat tempatan selepas itu.

Jadi, mengembalikan pilihan raya tempatan merupakan tuntutan yang sepatutnya diutamakan pada pilihan raya akan datang.

Begitu juga, bagi mendesentralisasikan sistem pendidikan; desentralisasikan pengurusan bencana, termasuklah bagi menyelesaikan permasalahan banjir kilat; dan, pastinya untuk menyusun semula SPRM dan meletakkannya dari Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen bagi melawan rasuah.

Reformasi kehakiman, yang merupakan salah satu perkara dalam MoU juga tampaknya berlaku cukup perlahan, di mana ia turut berkait soal melawan rasuah. Jadi, ia juga mesti diutamakan.

Politik lapuk lawan baru

Politik lapuk di Malaysia dikuasai oleh kelompok kecil elit yang bergantung kepada parti politik berdasarkan kaum sejak 60 tahun yang lepas. Mereka hanya berpaut kepada Barisan Nasional, sebuah gabungan rentas kaum yang dikuasai oleh Umno.

Parti politik yang membentuk BN juga terlibat dengan aktiviti perniagaan – membuka bank, empayar media, konglomerat pembinaan serta perusahaan pendidikan. Selagi mana parti ini berfungsi di dalam sistem naungan, yang menanggung anggotanya yang di bawah, sokongan kepada elit BN akan kekal utuh.

Namun, sistem naungan yang sebegini pastinya membawa kepada ‘politik wang’, yang selangkah menuju rasuah dan nepotisme. Tidak mengejutkan, politik lapuk bergelumangan dengan rasuah sehingga mereka yang di puncak kuasa. Jangan kita lupa bahawa bekas Perdana Menteri Najib sendiri dijatuhkan hukuman bersalah kerana rasuah.

Politik baru, kita berharap, dapat merentasi kaum serta terpelihara dari politik wang serta naungan. Politik begini akan membuka ruang agar pilihan raya bebas dan bersih digerakkan oleh penglibatan yang demokratik, termasuklah di peringkat tempatan.

Kita juga berharap agar sebuah gabungan rentas kaum dapat menggantikan Umno-BN, yang sudah pun berkuasa lebih 50 tahun lamanya. Kita hanya dapat berharap bahawa barangkali akan wujud penggiliran kuasa di antara gabungan politik yang merentas kaum ini.

Jadi, kita cukup teruja apabila gabungan Pakatan Harapan, yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, mengalahkan Umno-BN pada pilihan raya umum 2018 yang lalu.

Kita hanya berharap agar wujud pendemokrasian yang meluas melalui perubahan di institusi penting seperti kehakiman, polis, SPRM, universiti serta sistem pendidikan secara keseluruhan.

Serta semua undang-undang yang menindas dapat dimansuhkan, harapnya.

Barangkali kita juga akan dapat menyaksikan lebih banyak rundingan dengan rakyat sebelum sesebuah polisi digubal melalui penubuhan jawatankuasa terpilih parlimen.

Atau adanya suruhanjaya inkuiri diraja yang baru ditubuhkan bagi menyiasat beberapa masalah kronik, misalnya bermula dengan isu rasuah yang cukup berleluasa.

Begitulah harapan kita dengan wujudnya Politik Baru.

Pun, apa yang berlaku adalah sebaliknya! Keputusan pilihan raya umum 2018 digagalkan dengan terjadinya Langkah Sheraton pada Februari 2020. Harapan bagi sebuah politik baru hilang.

No comments: