ZAHID HAMIDI ELOK TIDAK CAMPUR, BERI PELUANG ISMAIL SABRI KETUAI PRN JOHOR

 

Ketika kempen PRN Melaka berlangsung sebelum ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tidak berada di dalam negara kerana terikat dengan jadual pembedahan tulang belakang di Jerman.

Di samping beliau hanya turun berkempen pada hari terakhir sebelum hari pembuangan undi, tugas Pengarah Pilihanraya juga dipikul oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Ketika itu juga perbicaraan mahkamah kes Zahid Hamidi masih lagi di peringkat awal untuk menentukan sama ada wujud prima facie atau tidak dalam kes yang dihadapinya.

Barangkali atas dua faktor itulah yang turut sama menyumbang kepada kemenangan cemerlang di Melaka, meskipun BN berhadapan dengan persaingan tiga penjuru.

Tetapi, dalam PRN Johor yang belum ditentukan lagi tarikhnya ini, keadaan Zahid Hamidi sudah agak berbeza.

Selain beliau mungkin akan turun berkempen sepenuh masa kerana kesakitan tulang belakangnya sudah pulih, kes mahkamahnya pula telah memasuki fasa membela diri.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, hakim memutuskan wujud prima facie terhadapnya dalam 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana berpuluh juta Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Beliau kini harus mempersiapkan diri untuk membela diri di mahkamah di mana dalam peringkat ini hanya merupakan selangkah saja lagi untuk menentukan beliau menuju ke penjara atau sebaliknya.

Dengan demikian, keberadaan Zahid Hamidi dalam kempen PRN Johor nanti mungkin akan dijadikan isu oleh pihak lawan bagi tujuan melemahkan pengaruh dan menghalang BN daripada mencapai kemenangan.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi harus sedar sepenuhnya keadaan dirinya dan lebih baik jika beliau sendiri yang sedia berkorban demi kepentingan UMNO dan juga BN.

Oleh kerana Johor berbeza dengan Melaka, malah cabaran yang bakal dihadapi BN juga lebih sengit, sementara mencipta kemenangan adalah sangat perlu sebelum menuju PRU15, meletakkan semula Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihanraya sebagaimana di Melaka barangkali tidak lagi memadai.

Ini kerana Mohamad Hasan hanya sekadar Timbalan Presiden UMNO, tetapi tiada apa-apa kedudukan dalam kerajaan yang membolehkannya menjanjikan harapan yang lebih meyakinkan kepada pengundi.

Lalu, apa kata Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri diberikan tugas selaku Pengarah PRN Johor kali ini?

Dengan meletakkan tanggungjawab itu kepadanya, sekaligus dapat menguji kemampuannya sama ada beliau seorang pemimpin yang mampu mencipta kejayaan buat UMNO atau sebaliknya.

Jika Ismail Sabri berjaya di PRN Johor, maka UMNO tidak perlu bersusah payah menoleh ke kiri dan ke kanan lagi mencari pemimpin lain untuk dijadikan pertaruhan parti dalam menghadapi PRU15 nanti.

Tetapi, jika Ismail Sabri tidak diberi peluang atau dicuba, kiranya BN menang sekali pun dalam PRN Johor nanti, kekaburan dalam pencarian pemimpin masa depannya bagi menghadapi PRU15 akan terus berpanjangan.

Silap-silap perebutan dan saling menonjolkan diri di kalangan pemimpin UMNO makin dahsyat jadinya.

Lebih malang lagi jika BN kalah di Johor dan kekalahan itu bukan diketuai oleh Ismail Sabri, kekaburan itu akan terus gelap gelita untuk tempoh yang lebih lama.

Jadi, apa salahnya mencuba? ShahbudinHusin 26/01/2022.

No comments: