Mampukah PH mencipta kemenangan atau sekurang-kurangnya memberi saingan yang sengit, meski mengguna logo yang berlainan dalam PRN Johor akan datang ini?
Tidakkah tiada kesepakatan dalam penggunaan logo itu sudah menggambarkan tidak ada perpaduan dalam PH?
Bukankah juga pengggunaan logo yang berlainan itu memperlihatkan BN sudah awal-awal lagi diberi kelebihan kerana isu tersebut pasti akan diguna untuk mengelirukan pengundi bagi menggambarkan PH bukanlah gabungan yang bersatu padu untuk dijadikan kerajaan negeri?
Bagaimana PH mahu menyatukan parti-parti pembangkang bagi menentang BN, sedangkan mereka sesama sendiri tidak mampu sekata dalam penggunaan logo?
Di atas adalah antara beberapa persoalan yang kedengaran berikutan keputusan Majlis Presiden PH semalam yang membenarkan PKR menggunakan logo partinya sendiri, manakala DAP dan Amanah akan menggunakan lambang PH dalam PRN Johor tidak lama lagi.
Meskipun keputusan tersebut dicapai melalui persetujuan bersama dan dalam suasana harmoni antara PKR, DAP dan Amanah, kebimbangan bahawa perkara itu akan mengurangkan peluang PH untuk menang tetap tidak boleh dinafikan.
Benarkah?
Atau PH lebih mempunyai harapan cerah untuk menang dengan penggunaan logo berasingan itu?
Daripada satu segi, keputusan membenarkan PKR menggunakan logonya sendiri di PRN Johor nanti amat menggembirakan akar umbi parti itu.
Bukan saja di Johor, ahli-ahli PKR di seluruh negara seperti telah diberi suntikan semangat baru dengan keputusan Majlis Presiden PH itu.
Ini kerana bagi ahli-ahli PKR, logo PH adalah melesukan kerana ia mengingatkan mereka kepada pengkhianatan Bersatu yang juga menggunakan warna merah untuk logonya.
Selain itu, logo PH berwarna merah itu turut mengingatkan kepada Tun Mahathir Mohamad yang tidak berpegang kepada janji peralihan kuasa dan berdolak-dalik untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana telah dipersetujui.
Maka, mengguna logo sendiri dilihat mampu memberi lonjakan semangat kepada PKR, bermula di PRN Johor dan seterusnya untuk PRU15 akan datang.
Dalam hal ini, meskipun berlainan logo, apa yang penting ialah pembahagian kerusi mesti dapat dilakukan dengan baik dan tidak berlaku sebarang pertindihan.
Oleh kerana PH mungkin bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, terutamanya Muda, jika pembahagian kerusi berjaya dilakukan dengan baik, isu berbeza logo sebenarnya adalah perkara kecil saja.
Ia berikutan Muda misalnya dan parti-parti lain yang akan bekerjasama dengan PH, sudah pasti akan menggunakan logo parti mereka sendiri untuk PRN Johor nanti.
Jadi, tiadalah isu besar sangat dalam penggunaan logo yang berbeza itu, asalkan tidak berlaku pertindihan calon antara sesama pembangkang.
Tambahan lagi, untuk mengatakan masih ada yang mungkin keliru dengan penggunaan logo yang berbeza itu barangkali terlalu minima sifatnya.
Hakikatnya, majoriti rakyat negara ini sudah berpendidikan, terdedah kepada pelbagai maklumat dan mereka boleh membaca berita melalui telefon di tangan masing-masing dengan mudah.
Lebih daripada itu, ramai orang kampung dan warga tua sendiri sekarang ini pasti ada memiliki Whatsapp dan akaun Facebook, selain tidak kurang yang lebih gemar dengan Youtube dan Tik Tok.
Dengan itu, kemungkinannya adalah terlalu kecil jika mahu dikata ada yang masih keliru atau boleh dikelirukan dengan keputusan membenarkan penggunaan logo yang berbeza itu. – ShahbudinHusin 27/01/2022.