Covid-19 ‘berakhir’ hanya apabila kes harian bawah 1,000, kata Kit Siang

 

Lim Kit Siang mengingatkan Khairy Jamaluddin bahawa vaksin sahaja tidak dapat menurunkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

PETALING JAYA: Negara hanya patut mengisytiharkan wabak Covid-19 telah berakhir apabila jumlah kes harian turun bawah 1,000, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Justeru, katanya, masih terlalu awal bagi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk bercakap mengenai Covid-19 menjadi endemik mulai bulan depan apabila jumlah kes dan kematian masih tinggi.

“Terlalu awal bagi Khairy untuk bercakap mengenai Covid-19 menjadi endemik pada penghujung Oktrober apabila kadar kematian Covid-19 masih tinggi walaupun dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Banyak wabak berakhir menjadi endemik, berubah menjadi sesuatu yang bukan lagi satu kecemasan. Orang ramai kemudian belajar untuk hidup dengannya, sama seperti penyakit flu atau selesema biasa. Namun persoalannya adalah bila dan bagaimana untuk sampai ke tahap itu,” kata Lim dalam kenyataan.

Tambahnya, walaupun vaksin telah mengubah keseimbangan dengan kemampuan untuk membendung kesan terburuk Covid-19, ia sendiri tidak dapat menurunkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian, terutamanya dengan kemunculan varian berbahaya.

“Vaksin memberikan perlindungan yang baik tetapi bukan sempurna.”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, walaupun Malaysia harus beralih daripada dasar “Sifar Covid” kepada “Hidup Dengan Covid,” perlu ada langkah penyeimbangan yang tepat, sambil menambah, kehidupan sosial dan ekonomi normal seperti sebelum wabak perlu diteruskan.

No comments: