BUAT DULU BARU SEMBANG : Kabinet setuju laksana 7 pembaharuan untuk kestabilan politik


Diterbitkan 
Dikemaskini 9:31 p

Mesyuarat Kabinet hari ini setuju untuk melaksanakan sejumlah pembaharuan parlimen dan pentadbiran, menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ia termasuk kebanyakan pembaharuan yang dijanjikan Muhyiddin Yassin bulan lalu, ketika bekas perdana menteri itu cuba mendapatkan sokongan pembangkang.

Ismail berkata, komitmen itu bagi mengembalikan kestabilan politik negara untuk menangani wabak Covid-109 dan memulihakan ekonomi.

Ini selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis," katanya.

Tujuh pembaharuan tersebut adalah:

  • Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
  • Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
  • Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
  • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
  • Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
  • Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Tujuh pembaharuan diumumkan Ismail Sabri itu, hampir sama dengan cadangan rangka persefahaman rentas parti diumumkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos lalu.

Rangka persefahaman itu dikemukakannya ketika dia cuba mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen pembangkang dalam undi percaya ke atasnya.

Undi percaya itu bagaimanapun tidak sempat berlaku apabila dia meletakkan jawatan tiga hari kemudian.

Dalam rangka persefahaman itu, Muhyiddin turut menawarkan tujuh janji pembaharuan, sekiranya usul undi percaya kepadanya diluluskan ahli-ahli parlimen.

Ketujuh-tujuh pembaharuan diumumkan Ismail Sabri tadi terangkum dalam tujuh janji yang ditawarkan Muhyiddin, dengan hanya sedikit perbezaan.

Janji Muhyiddin, termasuklah:

  • Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen (janji ketiga).
  • Pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang mengambil masa (janji kelima).
  • RUU pindaan perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja (janji ketiga).
  • Separuh daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengeruskan oleh ahli parlimen pembangkang (janji keempat).
  • Setiap RUU termasuk RUU perbekalan (Belanjawan) yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingkan terlebih dahulu dengan semua ahli parlimen (janji keenam).
  • Libat urus dengan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (janji kedua).
  • Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan (janji ketujuh).

Janji pertama Muhyiddin - peruntukan tahunan yang sama kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik - bagaimanapun tidak termasuk dalam pembaharuan diumumkan Ismail Sabri.

Juga sedikit berbeza, ketua pembangkang diberikan saraan dan kemudahan setara menteri di dalam pembaharuan Ismail Sabri, berbanding menteri kanan di dalam janji Muhyiddin.

Tawaran Muhyiddin itu bagaimanapun ditolak pembangkang.

Untuk rekod, pengkritik berpendapat janji-janji yang dikemukakan Muhyiddin itu sebahagiannya berasal daripada tawaran dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,

malah sesetengahnya sudah diusahakan dan dalam peringkat pelaksanaan, seperti Undi18.

No comments: