Selain berfungsi menyebarkan informasi berkaitan hal remeh-temeh sehingga yang serius, kumpulan WhatsApp dan media sosial yang lain sebenarnya boleh mengganggu kesihatan mental anda.
Lebih-lebih lagi, ‘group’ WhatsApp tersebut disertai ahli dengan corak pemikiran yang pelbagai.
Sebenarnya, bagaimanakah kumpulan WhatsApp keluarga dan platform media sosial yang lain boleh mempengaruhi kesihatan mental ahlinya?
‘Group’ WhatsApp keluarga boleh pengaruhi kesihatan mental
Pernahkah anda berasa tidak selesa ketika berada dalam sebuah ‘group’ WhatsApp keluarga kerana topik perbualan mereka membuatkan anda risau?
Topik yang mungkin diperkatakan adalah seperti berita-berita yang tidak diketahui kebenarannya dan topik-topik sensitif seperti politik dan isu-isu agama.
Akibatnya, anak muda atau remaja cenderung untuk mengabaikan nasihat dalam ‘group’ WhatsApp keluarganya sendiri kerana malas bertelagah dengan ibu bapa masing-masing.
Bahkan, ramai juga di antara remaja ini yang mengakui kumpulan WhatsApp keluarga mempengaruhi kesihatan mental mereka secara tidak langsung.
Menurut sebuah kajian oleh American Psychological Association (APA), tabiat memeriksa mesej dan email pada telefon bimbit dan komputer secara kerap amat berkaitan dengan tahap stres seseorang individu itu.
Apa yang dibaca atau dilihat pada telefon bimbit dan juga komputer adalah perkara-perkara yang boleh menimbulkan kegelisahan hinggalah mengganggu mental.
Mengapa ‘group’ WhatsApp keluarga boleh mempengaruhi kesihatan mental?
Sebabnya, kumpulan keluarga kadangkala menimbulkan perasaan kurang senang kepada ahlinya sendiri.
Sebagai contoh, jika ahli yang lain mengucapkan kata-kata selamat hari lahir, anda mungkin akan berasa kurang selesa jika anda tidak mengucapkannya juga.
Selain itu, kumpulan WhatsApp keluarga juga sering berkongsi maklumat-maklumat yang mungkin dianggap tidak penting bagi golongan muda.
Mungkin ada yang terpaksa membacanya untuk mengelakkan rasa kurang selesa. Kesannya, apa yang terpaksa dibaca tersebut perlahan-lahan mempengaruhi kesihatan mental anda.
Banyak maklumat palsu di ‘group’ WhatsApp keluarga?
Sebenarnya, salah satu perkara yang menyebabkan kumpulan WhatsApp keluarga ini mempengaruhi kesihatan mental seseorang adalah disebabkan oleh maklumat palsu.
Anda pasti tahu berapa kerap berita-berita palsu disebarkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Membaca berita palsu ternyata dapat mempengaruhi kesihatan mental walaupun dengan hanya membacanya daripada media sosial.
Menurut Psycom, dengan kewujudan banyak berita palsu yang dipercayai sebagai berita yang benar, ramai individu mengalami stres akibat daripada tajuk berita yang dibaca.
Berita-berita palsu sememangnya dirancang untuk memanipulasi pendapat masyarakat, terutama bagi mereka yang jarang sekali memeriksa kesahihannya.
Selain itu, maklumat palsu juga seringkali boleh menimbulkan perasaan marah, sangsi, dan panik yang mampu mempengaruhi pemikiran individu.
Tip bagi memelihara kesihatan mental pada era kemajuan teknologi
Bukan hanya kumpulan WhatsApp keluarga sahaja yang boleh mempengaruhi kesihatan mental anda, platform media sosial yang lain juga boleh memberikan kesan yang sama.
Anda mungkin berasa mudah untuk menghindari ‘group’ WhatsApp, tetapi bagaimana pula dengan media sosial yang lain?
Berikut merupakan beberapa tip yang boleh anda lakukan dalam menjaga kesihatan mental pada era kemajuan teknologi ini:
1. Mengurangkan waktu penggunaan
Salah satu cara yang boleh anda lakukan adalah mengurangkan waktu penggunaan media sosial bagi menjaga kesihatan mental.
Kurangkan penggunaan media sosial antara 10 hingga 30 minit sehari ternyata boleh membantu menurunkan tahap keresahan, kemurungan dan gangguan tidur.
Walau bagaimanapun, anda tidak perlu mengurangkan penggunaannya secara drastik untuk menjaga kesihatan mental anda.
2. Alihkan perhatian anda
Alihkan perhatian dan keinginan anda daripada membuka media sosial dengan melakukan beberapa perkara seperti berikut:
- Menghabiskan waktu bersama keluarga dan rakan seperti minum di kedai kopi.
- Melakukan sesuatu hobi atau perkara yang baharu seperti melukis dan membaca.
- Mengisi waktu yang terluang dengan perkara yang menyihatkan seperti bersukan dan bersenam.
- Menenangkan fikiran anda dengan dikelilingi unsur-unsur alam.
Kesimpulan
Walaupun banyak kesan negatif yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan mental disebabkan oleh ‘group’ WhatsApp keluarga, tapi ia juga masih mempunyai manfaatnya yang tersendiri.
Selain bertanya khabar dan mendapat berita mengenai ahli keluarga, kadangkala anda mungkin boleh mendapatkan sesuatu maklumat daripada ahli keluarga yang lain dan juga daripada media sosial.
Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan