[ENGLISH VERSION BELOW] Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, amat menyambut baik cadangan penubuhan “kaukus reformasi Parlimen dan demokrasi pelbagai parti” oleh MP Pengerang Azalina Othman Said pada 1 September, dalam usaha memperkasa institutsi Parlimen selaku badan semak dan imbang kepada tadbir urus badan eksekutif, serta memartabatkan demokrasi berparlimen di Malaysia.
Kami percaya cadangan Azalina ini adalah selaras dengan semangat pakej penambahbaikan institusi yang ditawarkan oleh mantan Perdana Menteri Mahiaddin Yasin sebelum beliau meletakkan jawatan, yang antara lainnya termasuk reformasi Parlimen dengan mengehadkan penggal jawatan perdana menteri, penambahan bilangan jawatankuasa pilihan khas parlimen, separuh daripada jawatankuasa pilihan khas parlimen dipengerusi ahli Parlimen pembangkang dan proses perundingan rang undang-undang yang lebih inklusif sebelum pembentangan di Parlimen.
Kami juga menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob untuk berjumpa dengan Anwar Ibrahim, Mohammad Sabu dan Lim Guan Eng pada 25 Ogos untuk mencapai kerjasama rentas parti yang amat diperlukan pada masa sekarang. Kenyataan bersama keempat-empat pemimpin politik itu juga bersetuju untuk memperkasa fungsi Parlimen dan reformasi institusi.
Perkembangan ini menunjukkan reformasi Parlimen merupakan satu agenda yang mempunyai sokongan rentas parti yang luas dan cadangan kaukus oleh Azalina adalah sangat tepat pada masanya. Justeru, kami menyeru pentadbiran baharu negara pimpinan Ismail Sabri dan Wan Junaidi, selaku menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen, untuk komited terhadap penambahbaikan institusi Parlimen dan memberi sokongan sumber serta pengiktirafan kerajaan terhadap kaukus ini dengan penyertaan ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti kerajaan.
Kami mencadangkan supaya kaukus ini diberi mandat untuk mengkaji perkara berkaitan reformasi Parlimen dari segi dua aspek utama dan menghasilkan cadangan-cadangan penambahbaikan untuk pertimbangan Parlimen dan kerajaan.
Aspek pertama adalah berkaitan dengan penambahbaikan dari segi struktur dan tata cara Parlimen yang perlu dilaksanakan dalam sesi Parlimen yang akan datang iaitu
- meningkatkan bilangan jawatankuasa pilihan supaya kesemua kementerian berada di bawah pengawasan Parlimen memperbaiki komposisi jawatankuasa supaya mencerminkan kekuatan setiap parti dalam Parlimen
- mengiktiraf ketua pembangkang setaraf status menteri
- mengenakan jumlah hari minimum antara bacaan pertama dan bacaan kedua rang undang-undang
- memperkenalkan tata cara yang jelas dalam peraturan untuk ahli Parlimen membawa usul percaya dan tidak percaya yang perlu diutamakan
- mengkaji peraturan mesyuarat Dewan untuk mengembalikan hak anggota Dewan untuk mengendalikan agenda dan urusan Dewan serta hak yang sama rata kepada menteri dan ahli Parlimen yang bukan menteri
- memperkenalkan hari atau waktu ahli persendirian, agenda petisyen orang awam untuk dibahas oleh Parlimen
- penambahan tempoh mesyuarat Parlimen dalam setahun dan
- memperkenalkan satu Kod Etika untuk kakitangan Parlimen
Aspek kedua yang perlu dikaji oleh kaukus ini adalah penambahbaikan dari segi institusi dengan satu pelan tindakan yang jelas supaya pelaksanaan pelan dapat dijalankan sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Ini melibatkan:
- pengubalan sebuah akta perkhidmatan parlimen dan sebuah akta yang mengawal gejala lompat parti
- pengenalan sebuah manual kabinet yang mengawal cabang eksekutif dan perkhidmatan awam semasa pilihan raya, dan pelantikan dan pemecatan perdana menteri
- memastikan pengagihan dana pembangunan kawasan adil dan saksama kepada ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik
Kami turut menyeru semua parti-parti pembangkang untuk menyokong kaukus ini dengan menghantar wakil mereka supaya semangat kerjasama rentas parti dalam menambahbaik institusi Parlimen ini diteruskan dan diperkukuhkan. Semangat kerjasama rentas parti dan pelbagai pihak perlu mengambil tempat dengan segera dengan mengetepikan kepentingan politik dan peribadi.
Kami juga percaya kaukus ini akan membantu peranan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam usaha menambahbaik institusi Parlimen. Kami menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengiktiraf kaukus ini dan memberi sumber dan ruang untuk kaukus ini menjalankan mandatnya.
Kami berharap kepimpinan baharu akan membawa institusi Parlimen ke fasa baharu yang lebih bebas, profesional dan berkesan dalam menjalankan fungsinya tidak kira melalui persidangan Parlimen mahupun jawatankuasa-jawatankuasa parlimen. Peranan wakil rakyat backbencher kerajaan dan pembangkang, termasuk rakyat terbanyak selaku pemegang taruh utama harus dilibat dan diketengahkan dalam proses pembuatan dasar negara.
Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Ditandatangani oleh:
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)
- Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
- Institute for Political Reform and Democracy (Reform)
- Bait Al-Amanah
- Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)
- Engage