PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran Ismail Sabri Yaakob menambahbaik Parlimen dan pentadbiran kerajaan, namun tetap mahukan undi percaya terhadap perdana menteri diadakan “secepat mungkin”.
Anwar menyifatkan ikhtiar kerajaan itu sebagai “permulaan yang baik”, susulan pertemuan antara mereka pada Ogos, namun masih wujud keperluan usul undi percaya diadakan pada sidang Parlimen kali ini bagi mengabsahkan Ismail mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Ini “berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong”, tegasnya.
“Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar menyenaraikan keutamaan pembangkang, iaitu reformasi Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, reformasi fiskal dan program “pro-rakyat” seperti moratorium pinjaman bank untuk golongan M40 dan B40.
Pakatan Harapan pimpinannya juga mahu melihat peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat, katanya.
“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak eksekutif.”
Kerajaan semalam mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Tawaran berkenaan termasuk mempersetujui melakukan beberapa transformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Rang Undang-undang Antilompat Parti, pelaksanaan Undi18, dan keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Anwar seusai pertemuan dengan Ismail pada 25 Ogos lepas memberi jaminan PH tidak akan mempersulitkan usul undi percaya terhadap Ismail sekiranya kerajaan dan pembangkang saling terbuka bekerjasama berhubung isu rakyat.