Surau ini pernah menjadi surau tempat ustaz-ustaz Pas membuat dalam kuliah pengajian mereka. Antara yang memberi pengajian berkala dan tidak berkala ialah Ustaz Sidek Noor, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Sulaiman Mantap dan banyak lagi. Apabila tiba giliran mereka membuat pengajian, ramailah penyokong Pas datang ke surau tersebut. Meriahlah surau tersebut dengan program-program pengajian yang disusun oleh jawatankuasa surau.
Nama surau ini ialah Surau As Saadah tetapi orang Pas lebih mengenali dengan nama Surau Wak Johar. Saadah adalah nama ibu kepada Wak Johar. Tapak surau itu merupakan wakaf Wak Johar atas nama ibunya. Nama Saadah juga diabadikan sebagai nama salah satu lorong yang berdekatan surau itu.
Kampong Padang Tembak diteroka oleh orang Bagan Datoh yang terdiri dari orang Jawa dan Banjar. Mereka diberikan tanah seluas dua ekar untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian. Sebahagiannya meneroka kampong sebelah, Kampong Selabak.
Sebelah surau Wak Johar ada sekolah rendah Islam al Munir. Anak-anak saya bersekolah di situ juga. Tambahan pula, pengasas sekolah tersebut ialah Cikgu Sanusi dan isterinya. Mereka adalah pimpinan Pas pada masa itu.
Jika ada program pengajian yang diisi oleh pimpinan Pas, para pelajar akan menerima handbill program tersebut. Biasanya anak saya bawa handbill untuk diberikan kepada saya. Begitu juga anak-anak orang lain. Pada peringkat awal, ramai penyokong Pas yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut tetapi lama kelamaan sekolah tersebut diterima oleh semua pihak tanpa mengira parti politik. Antara doktrin politik yang kuat pada masa itu bahawa sistem pendidikan di sekolah biasa adalah sekular dan tidak Islamik.
Wak Johar bertanding dalam pilihanraya umum 1982 untuk dun Changkat Jong. Wak Johar dapat undi 1055 dan BN melalui Dato Arshad menang dengan mendapat undi 7746 undi. Jika dilihat mata kasar, Wak Johar bertanding atas dasar perjuangan. Meski beliau sekadar orang kampong biasa, tuntutan perjuangan pada masa itu memaksa untuk beliau bertanding. Wak Johar bukan ahli perniagaan, ahli politik, ulama atau tokoh tempatan.
Wak Johar berasal dari Sungai Sumun, Bagan Datoh. Saya sempat berjumpa dan bersembang dengannya. Wak Johar humble dan selalu berbaju Melayu, berkain pelikat dan berkopiah putih. Masa itu, Wak Johar sudah tua. Janggutnya putih beruban dan seorang pendiam. Susuk tubuhnya tidak jauh beza dengan Tuan Guru Haji Ahmad Chenderong Balai yang pernah jadi calon Pas di parlimen Hilir Perak peringkat awal.
Selepas itu, Pas Teluk Intan diketuai Haji Samsuddin Tamyes yang tinggal di Kampong Bahagia. Perwatakannya dengan Wak Johar tidak banyak berbeza. Kedua-dua berketurunan Jawa dan memiliki ramai ahli keluarga mereka yang menyokong Pas.
Anak saudara Wak Johar, Kapten (B) Hj Aris Bakri adalah Yang Di Pertua Pas Bagan Datoh dan bertanding beberapa kali dalam pilihanraya umum. Seorang anak saudara Wak Johar adalah Shamsuri bin Omardi, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Perak.
Pada masa itu, tulang belakang Pas Teluk Intan ialah di cawangan Padang Tembak. Semasa bawah kepimpinan Ustaz Hir Damanhuri, Pas Teluk Intan mula membina markaznya di sebuah tapak yang mereka kongsi membeli bagi mewujudkan sebuah penempatan ahli Pas. Ustaz Hir Damanhuri juga berasal dari Bagan Datok. Kampong asalnya di Sungai Batang, tempat saya lahir di rumah datuk saya, Kiyai Haji Yasin al Bakri.
Sekembalinya saya dari United Kingdom pada 2011, Pas Teluk Intan jemput saya untuk memberi pengisian usrah bulanan kawasan di markaz tersebut. Saya lupa apa topik yang menjadi tajuk usrah pada masa itu. Markaz Pas itu hanya dua pelaung dari rumah saya. Jika ada ceramah, boleh dengar terutama bila malam yang sepi.
Banyak kali juga saya berceramah di situ. Ceramah politik mudah. Bantai musuh politik kaw-kaw. Mereka yang datang mendengar akan bersemangat dam bertakbir.
Penceramah kena memiliki kemahiran berpidato seperti Sukarno, Dato Asri atau Ustaz Hadi. Mereka memiliki magnet untuk pengikut yakin segala isi pidatonya.
Sayangnya saya bukan kaki pidato atau seorang orator.
Saya suka mendeklamasikan puisi mengarang kata untuk membina negara dan bangsa. Sayang pula, ramai pendengar pula tidak berahi dengan kata-kata puitis. Mereka mabukkan kata-kata beracun lagi berbisa. Mereka tidak minat sains politik tetapi suka politik emosi.
Oleh sebab itu, kita sebagai anggota masyarakat sepatutnya memberi pendidikan politik warga negara dapat bertanggungjawab memelihara keharmonian dan kemajuan negara. Ini merupakan tanggungjawab semua pihak tanpa mengira parti politik, kaum dan lapisan masyarakat. Untuk peringkat awal, golongan intelektuallah yang terlebih awal melangkah ke hadapan. Memecah ruyung. Tetapi jangan sampai tinggalkan mereka yang lambat faham dan bergerak. Hulurkan tangan kamu, kawan.
Pengarang adalah penyelidik antropologi politik kampong dan buku terbaharunya ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’ akan berada di pasaran pada Oktober 2021. Buku tersebut boleh didapati dengan klik http://bit.ly/bukumuhaimin.
Sumber:
Ustaz Abdul Wahab Dawam
Kapten (B) Aris Haji Bakri
Nawawi Nordin