Manifesto Rakyat untuk pemulihan ekonomi – GRM
Gabungan Reformis Malaysia (GRM) yang terdiri daripada 10 NGO memperjuangkan Reformasi sejak dua dekad lalu menyeru agar negara diperbaikki perjalanan pentadbiran dan ekonomi secara kerjasama antara kerajaan dan rakyat pasca Covid 19.
Melalui perutusan Aidilfitri 2021, koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata rakyat perlu disedarkan terhadap perkembangan politik semasa, iaitu politik integriti melawan politik rakus yang bakal menjadi pertembungan hebat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kelak.
“Hari ini kita berdepan politik integriti yang menegakkan kejujuran, matang, amanah dan tidak sombong menghadapi politik rakus kleptokrasi, kronisme, nepotisme dan sombong dalam pendekatannya
“Ini yang melatari senario yang ada pada hari ini. Semoga Ramadan lalu membekalkan kita kekuatan dalaman berhadapan keadaan berkenaan,” katanya dalam siaran di Facebook.
Dalam masa sama, menurut Mustaffa sebagai seorang muslim, rakyat Malaysia harus menghadapi pandemik Covid 19 dengan sikap yang lebih bersabar dan berusaha dalam mengurangkan kesan wabak berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional mengambil pendekatan beberapa kerajaan di dunia yang berjaya menggunakan sumber daya alami bagi meningkatkan antibodi rakyat, sementelah Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan herba yang boleh diproses menjadi ubat-ubatan.
“Di pihak kerajaan, perlu digalakkan pengunaan sumber alami bagi meningkat antibodi rakyat. Ini harus digalakkan.
“Beberapa negara yang berjaya menangani Covid, mereka menggunakan sumber alami dalam berbagai bentuk yang boleh meningkatkan antibodi badan.
“Vaksin juga tugasnya untuk merangsang badan mengeluarkan antibodi menangani Covid. Jadi kalau ada sumber alami yang terdapat di Malaysia, maka ia juga suatu pendekatan yang mesti digalakkan oleh kerajaan untuk diamalkan, disamping vaksin,” katanya.
Bagi memperbaiki negara dalam pasca Covid 19 yang mungkin dilaksanakan selepas PRU ke 15, Presiden NGO Rapat Rakyat itu menyarankan agar pemimpin Malaysia melakukan rombakan struktur ekonomi, teknologi dan perindustrian secara besar-besaran bertujuan menyediakan negara memasuki gerbang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sepenuhnya.
Berlatar belakangkan IR 4.0 yang akan melanda dunia dengan teknologi robotik menggantikan tenaga manusia dan kecedasan buatan (AI) mengambilalih banyak pekerjaan profesional, katanya, GRM telah mengumpul komen rakyat dan melakukan sedikit kajian lapangan lalu menyarankan penyusunan semula strategi negara melalui Manifesto Rakyat yang menumpukan 5 Bidangan Pelan Tindakan:
- Menyusun Semula Ekonomi
Ekonomi negara perlu disusun mengikut keutamaan industri; berat, sederhana dan desa. Pelaburan asing berasaskan teknologi IT dan digital dibawa masuk dan diutamakan dalam memperkasa Agenda Digital Ekonomi Manusiawi Malaysia 2030 (ADEM 2030).
- Menyusun Semula Sektor Pekerjaan
Sektor pekerjaan dilaraskan semula berdasarkan kekuatan ilmu, kemahiran, skil vokasional dan bakat penduduk Malaysia. Rakyat dalam sektor pekerjaan yang bakal pupus di era IR 4.0 perlu diberi latihan semula (re-training, re-skiling) secara besar-besaran.
- Merombak Struktur Pendidikan Berasaskan Revolusi Industri 4.0
Sektor pendidikan dirombak semula metodologi dan penghayatan falsafahnya yang mampu menyahut cabaran IR 4.0. Pelbagai aliran kursus terkait ilmu digital baharu diperkenalkan dalam kurikulum peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT bagi meningkatkan kebolehsaingan pelajar Malaysia
- Memperkenalkan Harga Lantai Komoditi Utama
Harga lantai atau subsidi meningkatkan harga akan diperkenalkan kepada sektor komoditi utama seperti getah, padi, sawit, koko dan sebagainya. Ia bertujuan memastikan petani tidak menderita akibat kejatuhan harga dunia bagi komoditi utama. Demikian juga sektor pertanian lain dan penternakan, subsidi khas perlu diberikan.
- Pemberian Subsidi Makanan Ruji dan Beberapa Keperluan Asas.
Harga makanan ruji dan beberapa keperluan asas rakyat Malaysia diberikan subsidi. Ia bertujuan bagi memastikan rakyat cukup gizi dan keselesaan hidup samaada yang tinggal di kota mahupun perdesaan sekaligus meringankan beban kos sara hidup.