NEGARA MELAYU ISLE PUN, MENTERI AGAMA KERJA DOK TAHNIK GOLONGAN KAYANGAN....JABATAN DIBAWAH KEMENTERIAN GAMA MACAMANA???

 


Ibu tunggal mualaf ikat perut sambut Aidilfitri pertama; 8 tahun diami bilik stor rumah kedai





Struktur bumbung dan lantai yang membimbangkan di stor yang didiami Nur Hidayah.

PETALING JAYA: Bayangkan jika seorang wanita berusia terpaksa tinggal di bilik stor yang bocor, dengan bumbung dan lantainya reput. Bukan untuk satu malam, tetapi sejak lapan tahun lalu.

Itu realiti kehidupan saban hari ibu tunggal Nur Hidayah, 53 tahun, sejak 2014. “Kediamannya” adalah sebuah bilik stor yang cukup daif di sebuah rumah kedai di Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor.

Selepas penat bekerja sepanjang hari untuk mendapatkan sedikit wang, Hidayah, yang juga seorang mualaf, tidur hanya beralaskan tilam nipis. Beliau pasrah dengan nasibnya.

Hidayah sanggup mengharungi sengsara setiap hari asalkan mempunyai wang untuk dihantar pulang bagi menyara anaknya-anaknya di Kuching, Sarawak.

Demi anak, Hidayah sanggup melakukan apa saja kerja halal, termasuk naik turun tangga rumah pangsa empat tingkat untuk menghantar tong gas kepada penghuni.

“Asalkan halal, kerja apa pun tidak apa,” kata wanita cekal ini.

Hidayah tinggal di bilik stor atas ihsan pemilik rumah kedai berkenaan setelah keluar daripada kediaman sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.

“Pemilik sekarang benarkan saya tinggal di stor ini. Kadang-kadang bila ada duit lebih sikit, saya bayar sewa, kadang-kadang saya tolong dia buat kerja untuk balas budinya.

“Dia memang sangat baik hati, sampaikan sanggup pinjamkan saya motosikalnya untuk memudahkan saya bekerja,” katanya kepada FMT.

Anak watan Sarawak ini berhijrah ke Semenanjung 16 tahun lalu selepas berpisah dengan suami. Hasil perkahwinan itu, beliau dikurniakan empat anak lelaki. Tiga daripadanya masih di Sarawak bersama bekas suami, manakala seorang lagi mengikut jejaknya ke Semenanjung.

Kata Hidayah, ketika awal penghijrahannya, sebahagian besar daripada gajinya setiap bulan dikirim ke Sarawak buat belanja sekolah untuk keempat-empat anaknya.

Namun sekarang hanya anak bongsu yang berusia 16 tahun masih bersekolah, manakala yang lain sudah bekerja. Anak bongsunya itu tinggal bersama abang-abangnya di Kuching.

Nur Hidayah, ibu kepada empat anak, cekal meskipun pernah jadi mangsa penipuan ‘orang Semenanjung’ ketika beliau cuba berdikari.

Beliau berkata tiga anaknya, walaupun bekerja, tidak mampu membantu menyara anak bongsunya, justeru tanggungjawab itu dipikul oleh beliau.

“Gaji mereka tak cukup dan tidak seberapa, jadi anak yang masih bersekolah itu memang sangat perlu dibantu,” katanya.

Hidayah mengaku memang tidak selesa tinggal dalam stor yang serba kekurangan, namun tiada pilihan.

Walaupun dipandang serong dan kadang kala ditohmah segelintir masyarakat yang berprasangka buruk, dia hanya “butakan mata dan pekakkan telinga” demi anaknya.

“Apa saja pekerjaan halal yang bolehkan saya dapat duit, saya lakukan. Angkat tong gas dari tingkat satu ke tingkat empat juga tidak menjadi masalah,” katanya.

Hidayah memeluk Islam pada 2020 dan ini Aidilfitri pertamanya. Namun keinginan untuk pulang beraya terpaksa dipendam akibat pandemik Covid-19 dan kesesakan wang.

Malah, masalah lebih meruncing untuk beliau, ialah kesan Covid-19 ke atas mata pencarian hariannya.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu, kerja dan upah makin kurang. Sekarang (walau) banyak mana kerja yang saya lakukan, saya hanya dapat upah kira-kira RM50 sehari,” katanya.

Bukan mudah hidup sebatang kara di tempat orang, kata Hidayah. Jatuh bangun, pahit jerihnya sukar untuk digambarkan dan dalam tempoh 16 tahun hidup bersama “orang Semenanjung”, dia seringkali ditipu dan tidak dibayar gaji.

“Saya ada cuba buat perniagaan di Chow Kit beberapa tahun lepas tapi tidak berjaya, kena tipu, kurang dapat sambutan, orang ambil barang tapi tidak bayar.

“Modal untuk perniagaan itu saya pinjam dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sekarang ini saya terpaksa membayar RM410 seminggu hutang AIM, manakala perniagaan yang saya usahakan itu gagal.”

Pastinya hutang beliau dengan AIM tertunggak sekian lama, tetapi apakan daya, Hidayah hidup ibarat kais pagi makan pagi.

“Bila terdesak, saya terpaksa hutang dengan kawan-kawan, kerana ada ketikanya nak makan pun saya tiada duit. Kehidupan saya sangat teruk, buat kerja tapi kena tipu majikan tak bayar gaji, bila minta gaji kena merayu banyak kali macam minta sedekah,” katanya sebak.

Hidayah pernah nekad membuat pinjaman daripada ‘Ah Long’ sebanyak RM2,000 ketika tersepit dan gagal membayar bayaran pokok mengakibatkan hutang jadi bertimbun.

Mujur ada kawan yang bersimpati membantu menyelesaikan baki pinjaman awal tahun ini dan dia membayar semula kepada rakannya setakat termampu.

Nur Hidayah, ibu kepada empat anak, cekal meskipun pernah jadi mangsa penipuan ‘orang Semenanjung’ ketika beliau cuba berdikari.

Katanya, faktor usianya yang kini sudah semakin lanjut mengakibatkan kesihatannya juga terjejas, serta tenaga untuk melakukan pekerjaan terbatas.

“Hajat hati memang nak balik ke Sarawak, tapi tidak ada kemampuan. Perlu ada sekurang-kurangnya RM2,000. Saya juga ada terfikir untuk membawa anak-anak saya berhijrah ke sini.

“Namun disebabkan tempat tinggal saya yang serba kekurangan, saya batalkan hasrat. Saya tahan sajalah rindu, selagi mampu. Sambutan hari raya kali ini adalah yang pertama, namun saya sudah biasa sendiri,” katanya.

Kisah Hidayah mendapat perhatian badan bukan kerajaan, Nation of Women (NOW), yang tampil memberikan bantuan.

“Setakat ini kami cuba bantu Hidayah berniaga secara dalam talian, kita bagi tunjuk ajar macam mana, sebelum ini berniaga pakaian terpakai. Jadi kita ajar dia berniaga pakaian terpakai secara ‘online’ dan akan membantu menyelesaikan hutang AIM Hidayah,” kata Ketua Biro Kebajikan NOW, Suhana Roshandin.

Apa pun, Hidayah pasrah…dan tabah menanti fajar menyinsing untuk membawa sinar dalam kehidupan beliau sekeluarga.

No comments: